Selasa, 1 Oktober 2019 | 9:55am
Pengurus Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino. - Foto Reuters
Pengurus Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino. - Foto Reuters

Pochettino idam tundukkan Bayern

LONDON: Kemenangan ke atas Bayern Munich dalam kempen Liga Juara-Juara, awal pagi esok akan membantu Tottenham Hotspur mengelak daripada mengulangi ‘kekalutan’ yang terpaksa diharungi pasukan itu musim lalu, kata pengurus Mauricio Pochettino.

Tottenham menamatkan saingan elit Eropah itu selaku naib juara kepada Liverpool musim lalu tetapi mereka hampir gagal layak ke peringkat 16 terakhir selepas tewas dua perlawanan awal peringkat kumpulan kepada Inter Milan dan Barcelona.

Spurs membuka kempen musim ini dengan keputusan seri di Olympiakos dalam aksi Kumpulan B justeru Pochettino mahu skuad kendaliannya melakar kemenangan pertama ke atas Bayern di Stadium Tottenham.

“Musim lalu kami dijangka akan mengharungi kempen yang sama dalam Liga Juara-Juara,” kata Pochettino. “Saya mengharapkan kemenangan esok untuk berada di posisi yang lebih baik berbanding musim lalu. Musim lalu kami hanya mengutip satu mata selepas tiga perlawanan.

“Tiada sesiapapun mempercayai kami, tetapi kami melangkah ke final Liga Juara-Juara. Kerana itulah dalam bola sepak penting bagaimana kau bermula, tetapi lebih penting bagaimana kamu menamatkannya. Dalam musim yang panjang, kamu perlu tenang dan kuat dari sudut mental.”

Pengendali dari Argentina itu kemudian menyatakan dia berjaya mengubah Spurs kepada pasukan yang sentiasa beraksi di Liga Juara-Juara sekali pun dibekalkan dengan bajet yang kecil berbanding pencabar lain di England dan Eropah.

Sekali pun berdepan kekangan, ia memaksanya tampil dengan penyelesaian inovatif di dalam padang, seperti meletakkan pemain tengah Moussa Sissoko di posisi pertahanan kanan selepas Serge Aurier diarah keluar padang ketika perlawanan dengan Southampton, minggu lalu.

“Ia tidak akan berubah pada musim ini... Ia bukan berita baharu buat kami. Apa yang baru adalah kelab ini... Tujuh tahun lalu, kami bermain di Liga Europa dan kini, untuk musim keempat berturut-turut, kami bermain di Liga Juara-Juara.

“Kami bermain menentang Barcelona, Inter Milan, Bayern Munich, Real Madrid atau Manchester City. Ia perubahan yang besar,” katanya sambil menambah juara Jerman, Bayern sentiasa calon juara kejohanan berkenaan. - Reuters

Berita Harian X