Ahad, 29 September 2019 | 6:08pm
Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam. - Foto Zunnur Al Shafiq
Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam. - Foto Zunnur Al Shafiq

FAP, PDRM terbaik selesai isu hutang

 

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP) dan Persatuan Bolasepak Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu dijadikan contoh kepada pasukan lain dalam menyelesaikan isu hutang membabitkan tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam menjelaskan dua pasukan itu berjaya menyelesaikan 37 kes membabitkan hutang kepada pemain dan pegawai pasukan.

"Dari Disember 2018 ke September 2019, Pulau Pinang ada 19 kes dengan hutang kira-kira RM2 juta. Tapi sekarang ini Pulau Pinang ada satu kes sahaja dan kes itu pun masih dalam status, belum diputuskan lagi.

"Satu lagi pasukan yang boleh dijadikan contoh adalah PDRM yang mana tahun lalu mereka ada 18 kes, tapi sekarang tiada kes lagi," kata Stuart.

Sebelum ini, Stuart mengesahkan Pulau Pinang dan PDRM termasuk dalam tiga pasukan Liga Perdana yang diberi lesen kebangsaan tetapi bersyarat iaitu mereka perlu melengkapkan segala dokumen dalam tempoh diberikan hingga 30 Oktober ini.

Selain itu, Stuart menjelaskan akan berusaha membantu pasukan mendapatkan lesen bagi membolehkan mereka terus beraksi dalam Liga Malaysia (Liga M).

"Kalau kita hanya ya atau tidak dalam mendapatkan lesen, PDRM dan Pulau Pinang tak boleh main tahun lepas. Tapi dengan terus bermain bola, 37 kes dapat diselesaikan.

"Tapi dalam memastikan pengurusan bagus, ia adalah tugas FAM dan First Instance Body (FIB) Pelesenan Kelab FAM untuk memastikan pengurusan mengambil inisiatif menyelesaikan segala masalah," katanya.

Berita Harian X