Ahad, 29 September 2019 | 9:31am
PEMAIN Bordeaux, Samuel Kalu (kiri) diasak pemain PSG, Neymar pada aksi Ligue 1 di Bordeaux, awal pagi tadi. - Foto AFP

Saya berikan segala-galanya kepada PSG - Neymar

PARIS: Bintang Brazil, Neymar berikrar untuk ‘memberikan segala-galanya kepada PSG selepas jaringan tunggalnya memastikan gergasi Perancis itu kekal di puncak Ligue 1 dengan kemenangan 1-0 ke atas Bordeaux, awal pagi tadi.

Neymar yang juga pemain termahal dunia kuat dikaitkan dengan perpindahan semula ke Barcelona pada perpindahan musim panas lalu.

Begitupun, dalam cubaan untuk memenangi semula hati peminat Paris Saint-Germain (PSG), yang rata-rata kurang yakin dengan komitmennya bersama pasukan itu, Neymar tampil dengan watak baharu dan meledak buat kali ketiga musim ini.

“Saya amat gembira dapat membantu PSG, ia lebih bagus untuk peminat,” kata Neymar. “Ia seperti teman wanita kamu, satu ketika kamu berada dalam keadaan buruk, tetapi dengan pelukan dan begitu banyak kasih sayang, ia lebih baik.

“Saya berada di sini untuk memberikan kehidupan saya kepada PSG. Mereka adalah pasukan saya, sasaran saya adalah untuk membantu kelab saya, berterusan menjaringkan gol.”

PEMAIN PSG, Neymar (tengah) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan dalam perlawnaan menentang Bordeaux pad aaksi Ligue 1 di Bordeaux, awal pagi tadi. - Foto AFP

Perlawanan di Bordeaux juga menyaksikan Neymar kembali bergandingan dengan bintang Perancis, Kylian Mbappe pada musim ini dan gandingan mereka mencipta satu-satunya gol dalam perlawanan itu.

Mbappe, yang terpaksa diketepikan susulan kecederaan sejak 25 Ogos lalu bermula di bangku simpanan yang menyaksikan PSG sedikit bergelut sebelum dia dimasukkan selepas sejam permainan berlangsung.

Kehadirannya jelas meningkatkan kekuatan serangan PSG dan kombinasi mereka menghasilkan gol pada minit ke-70.

“Apa yang paling utama ialah gol-gol ini adalah penentu, dalam perlawanan yang sengit, kerana itulah saya berada di sini,” kata Neymar. “Jelas sesuatu yang menggembirakan untuk kembali bergandingan dengan Kylian sekali lagi. Dia datang dengan senyuman bersama bakatnya.” - AFP

Berita Harian X