Ahad, 29 September 2019 | 8:00am
PEMAIN Bayern Munich, Philippe Coutinho (kiri) diasak pemain Paderborn, Luca Kilian pada aksi Bundesliga di Paderborn. - Foto EPA
PEMAIN Bayern Munich, Philippe Coutinho (kiri) diasak pemain Paderborn, Luca Kilian pada aksi Bundesliga di Paderborn. - Foto EPA

Coutinho, Lewandowski terus julang Bayern

BERLIN: Philippe Coutinho kembali menyinar tatkala Robert Lewandowski melakar sejarah peribadi ketika membantu Bayern Munich mendaki ke puncak Bundesliga selepas merakam kemenangan 3-2 ke atas Paderborn selepas Leipzig tercicir selepas dikejutkan Schalke, awal pagi tadi.

Ketika Bayern menang tipis mengatasi kelab tercorot Paderborn, Leipzig malang apabila kalah 1-3 di laman sendiri di tangan Schalke sekali gus terlepas kedudukan teratas liga.

Juara bertahan Bundesliga itu menggunakan kekuatan menjelang pertemuan menentang Tottenham Hotspur dalam saingan Liga Juara-Juara, Selasa ini, sebelum Paderborn berjaya menggegar mereka.

"Kami gagal menafikan mereka,” kata Serge Gnabry, yang menjaringkan gol pertama Bayern.

"Kami banyak beroleh peluang tapi penyudah kami menghampakan.

PEMAIN Bayern Munich, Robert Lewandowski menjaringkan gol dalam perlawanan menentang Paderborn pada aksi Bundesliga di Paderborn. - Foto Reuters
PEMAIN Bayern Munich, Robert Lewandowski menjaringkan gol dalam perlawanan menentang Paderborn pada aksi Bundesliga di Paderborn. - Foto Reuters

"Ia pasti berbeza apabila berdepan Spurs nanti, kami akan tingkatkan permainan.”

Coutinho, yang dipinjamkan kepada Munich selepas bergelut di Barcelona, memainkan watak penting apabila mencipta peluang untuk Gnabry memecahkan kebuntuan gol pertama seawal minit ke-15.

Babak kedua menyaksikan perancang dari Brazil itu meledak gol kedua Bayern pada minit ke-55 sebelum pemain gantian lawan, Kai Proeger merapatkan kedudukan buat Paderborn.

Lewandowski memperagakan sentuhan cemerlangnya pada minit ke-79 untuk menjadikan kedudukan 3-1, sekali gus muncul pemain pertama Bayern menjaringkan gol dalam setiap pertemuan dan yang pertama menyumbat 10 gol dalam enam aksi.

Bagaimanapun, pada baki 10 minit terakhir, Bayern nyata tertekan selepas pertahanan Paderborn, Jamilu Collins berjaya menewaskan penjaga gol Jerman, Manuel Neuer dengan rembatan dari jarak 30 meter untuk gol kedua pada minit ke-84.  – AFP

PEMAIN Bayern Munich, Robert Lewandowski meraikan jaringannya dalam perlawanan menentang Paderborn pada aksi Bundesliga di Paderborn. - Foto Reuters
PEMAIN Bayern Munich, Robert Lewandowski meraikan jaringannya dalam perlawanan menentang Paderborn pada aksi Bundesliga di Paderborn. - Foto Reuters

Berita Harian X