Sabtu, 28 September 2019 | 7:52pm
Bekas Setiausaha Agung FAM, Datuk Azuddin Ahmad ditemubual media selepas melawat mendiang bekas Pemain Bolasepak Kebangsaan, Datuk M. Chandran di Taman Ampang. - Foto Khairul Azhar Ahmad
Bekas Setiausaha Agung FAM, Datuk Azuddin Ahmad ditemubual media selepas melawat mendiang bekas Pemain Bolasepak Kebangsaan, Datuk M. Chandran di Taman Ampang. - Foto Khairul Azhar Ahmad
Bekas pemain bola sepak negara, Datuk M. Chandran. - Foto Hasriyasyah Sabudin
Bekas pemain bola sepak negara, Datuk M. Chandran. - Foto Hasriyasyah Sabudin

Pemergian M Chandran kehilangan besar

 

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menyifatkan pemergian legenda bola sepak negara, Datuk M Chandran yang meninggal dunia hari ini sebagai satu kehilangan besar buat arena bola sepak negara.

Mendiang menjadi kapten yang membawa skuad kebangsaan layak dan beraksi pada Sukan Olimpik 1972 di Munich, selain turut membantu Malaysia meraih pingat gangsa pada Sukan Asia 1974.

Selepas bersara, mendiang juga pernah menjadi ketua jurulatih kebangsaan pada 1982 dan selepas itu terus menyumbang bakti dalam bola sepak termasuk berkhidmat di Pejabat Pembangunan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) di Kuala Lumpur.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam menjelaskan daya kepimpinan tinggi dan komitmen mendiang di atas padang sepanjang meraih 163 penampilan bersama skuad kebangsaan dan juga di luar padang wajar dicontohi generasi pemain bola sepak masa kini.

"Saya secara peribadi turut mengenali mendiang dan menganggap mendiang sebagai mentor serta tokoh yang membimbing saya dalam bidang bola sepak ini," kata Stuart dalam kenyataan, hari ini.

"FAM sekali lagi mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang dan ingin merakamkan penghargaan terima kasih di atas segala jasa dan pengorbanan yang sudah dicurahkan mendiang sepanjang berkhidmat untuk bola sepak Malaysia."

Mendiang yang berusia 77 tahun meninggal dunia di kediamannya di Ampang Jaya kira-kira jam 7.30 pagi tadi akibat gangguan saraf motorik.

Sementara itu, Persatuan Bekas Pemain Negeri dan Kebangsaan turut menyatakan rasa sedih di atas pemergian mendiang M Chandran yang juga bekas presiden persatuan itu.

Presiden persatuan itu, Datuk Soh Chin Aun yang pernah beraksi bersama Chandran menjelaskan mendiang mempunyai sikap kepimpinan yang cemerlang dan sangat dihormati.

“Beliau adalah contoh terbaik sebagai pemain dan pentadbir. Beliau mengetuai persatuan itu dengan cemerlang sebagai Presiden dan saya rasa amat sukar untuk memenuhinya apabila mengambil alih tampuk kepimpinan pada 2014,” katanya.

 

 

Berita Harian X