Sabtu, 28 September 2019 | 1:53pm
FARHAN Ibrahim
FARHAN Ibrahim

MUSA giat penuhi kriteria syarat lesen

MELAKA:  Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) sudah melengkapkan semua dokumen yang diperlukan untuk permohonan lesen kelab kebangsaan daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Setiausaha Agung MUSA, Farhan Ibrahim berkata, usaha berkenaan dilakukan sejak Mac lalu dengan segala kriteria yang diperlukan termasuk pemasaran atau perniagaan, infrastruktur, pentadbiran dan perundangan juga dipenuhi sehingga ke tahap 99.7 peratus secara keseluruhan. 

"Hanya tinggal 0.3 peratus sahaja iaitu membabitkan kriteria kewangan berikutan tiada dokumen pengesahan tunggakan Kumpulan Simpanan Pekerja (KWSP), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang belom dapat dikemukakan.

“Perkara ini sudah pun dimaklumkan dalam mesyuarat pengurusan dan kewangan pada bulan Mei dan sekali Iagi dimaklumkan dalam mesyuarat jawatankuasa eksekutif pada bulan Julai memandangkan status kewangan persatuan sangat tidak memuaskan," katanya.

Sehubungan itu, pihak MUSA terutamanya presiden sedang giat berusaha untuk melunaskan tunggakan caruman KWSP, LHDN dan PERKESO sebelum tarikh tutup 30 Oktober.

Katanya, MUSA mengharapkan isu terbabit dapat diselesaikan menjelang tarikh berkenaan.

Farhan berkata, minggu lalu presiden ada berkunjung ke ibu pejabat KWSP dan antara isu yg dibincangkan adalah berkenaan tunggakan oleh MUSA pada 2018 dan 2019

Akhbar BH hari ni melaporkan Melaka United (MU) dan PKNS FC boleh disingkirkan ke Liga Perdana sekiranya gagal melengkapkan dokumen untuk mendapatkan lesen kelab kebangsaan daripada FAM.

Mengumumkan perkara itu, Pengerusi First Instance Body (FIB) Pelesenan Kelab FAM, Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif berkata dua pasukan itu diberikan lesen tetapi bersyarat iaitu perlu melengkapkan dokumen yang diperlukan dalam tempoh yang diberikan sehingga 30 Oktober.

Nasib satu lagi pasukan Liga Super, PKNP FC yang sudah sah tersingkir ke Liga Perdana musim depan bakal ditentukan oleh FAM dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) selepas dilihat gagal memberikan komitmen untuk melengkapkan permohonan mendapatkan lesen.

Sembilan lagi pasukan Liga Super iaitu Johor Darul Ta'zim (JDT), Kedah, Kuala Lumpur, Perak, Pahang, Selangor, Terengganu, FELDA United FC dan PJ City FC lulus dalam permohonan mereka mendapatkan lesen kelab kebangsaan.

 

 

Berita Harian X