Jumaat, 27 September 2019 | 10:43pm
Pengerusi First Instance Body (FIB) Perlesenan Kelab FAM, Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif (kiri) dan Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam menunjukkan buku peraturan perlesenan kelab 2019 selepas sidang media First Instance Body (FIB) Perlesenan Kelab FAM di Hotel Acapella, Seksyen 13. - Foto Saddam Yusoff
Pengerusi First Instance Body (FIB) Perlesenan Kelab FAM, Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif (kiri) dan Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam menunjukkan buku peraturan perlesenan kelab 2019 selepas sidang media First Instance Body (FIB) Perlesenan Kelab FAM di Hotel Acapella, Seksyen 13. - Foto Saddam Yusoff

MU, PKNS dalam bahaya tersingkir ke Liga Perdana

Oleh Zulfaizan Mansor

zulfaizan@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Melaka United (MU) dan PKNS FC boleh disingkirkan ke Liga Perdana sekiranya gagal melengkapkan dokumen untuk mendapatkan lesen kelab kebangsaan daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Mengumumkan perkara itu, Pengerusi First Instance Body (FIB) Pelesenan Kelab FAM, Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif berkata dua pasukan itu diberikan lesen tetapi bersyarat iaitu perlu melengkapkan dokumen yang diperlukan dalam tempoh yang diberikan sehingga 30 Oktober ini.

Nasib satu lagi pasukan Liga Super, PKNP FC yang sudah sah tersingkir ke Liga Perdana musim depan bakal ditentukan oleh FAM dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) selepas dilihat gagal memberikan komitmen untuk melengkapkan permohonan mendapatkan lesen.

Sembilan lagi pasukan Liga Super iaitu Johor Darul Ta'zim (JDT), Kedah, Kuala Lumpur, Perak, Pahang, Selangor, Terengganu, FELDA United FC dan PJ City FC lulus dalam permohonan mereka mendapatkan lesen kelab kebangsaan.

Mengulas lanjut, Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam turut mengesahkan enam pasukan iaitu JDT, Kedah, Kuala Lumpur, Perak, Selangor dan Terengganu diberikan lesen Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

"Lesen kelab kebangsaan dan lesen AFC ini sah untuk tempoh satu musim sahaja iaitu bagi musim 2020 dan sepanjang musim berkenaan," katanyapada sidang media di sini semalam.

"Jika mana-mana pasukan didapati melanggar artikelyang terdapat dalam Peraturan Pelesenan Kelab FAM Edisi 2019 atau dalam apa juga keadaan yang menyebabkan pengeluar lesen (FAM) tidak berpuas hati, lesen kelab mereka boleh ditarik balik."

Selain itu, enam pasukan Liga Perdana iaitu PDRM, Pulau Pinang, Selangor United, Kelantan, UKM FC dan Sarawak juga boleh diturunkan ke Liga M3 jika gagal melengkapkan dokumen sehingga 30 Oktober ini.

PDRM, Pulau Pinang dan Selangor United ketika ini diberikan lesen dengan syarat perlu melengkapkan dokumen dalam tempoh yang diberikan sementara keputusan permohonan Kelantan, UKM dan Sarawak ditangguhkan hingga 30 Oktober ini.

"FIB menggunakan kuasa yang ada untuk memberi kelonggaran kepada tiga kelab ini (Kelantan, UKM dan Sarawak) memandangkan ini tahun pertama dikenakan syarat lesen kelab bagi Liga Perdana.

"Sebagai langkah proaktif juga, FAM mensyaratkan setiap pasukan wajib menghantar surat pengisytiharan yang mereka bebas daripada sebarang tunggakan gaji, KWSP, LHDN dan PERKESO kepada FAM selewat-lewatnya pada 15 Disember ini.

"FIB juga akan melakukan lawatan dan audit ke kelab berkenaan selepas 15 Disember 2019 bagi memastikan apa yang dinyatakan mereka dalam surat pengisytiharan itu adalah benar," kata Stuart.

Berita Harian X