Jumaat, 27 September 2019 | 9:21am
STADIUM Al Janoub mampu kawal suhu. - Foto AFP

Qatar perkenal stadium dengan kawalan suhu

DOHA: Ketika lewat petang di Qatar, suhu luar Stadium Al Janoub yang sedang dibina penganjur Piala Dunia 2022 mampu mencecah 35 darjah celcius namun di atas padang pula suhunya sejuk iaitu hanya 21 darjah celcius.

Qatar, negeri kecil yang terkenal dengan iklim padang pasir terik berkata, ia direka dengan sistem penyejukan membolehkan stadium terbuka itu boleh digunakan walaupun pada suhu tinggi yang mampu mencecah 40 darjah celcius.

Temasya bola sepak terbesar dunia itu dipinda daripada November ke Disember untuk mengelakkan panas terik di Doha, namun Qatar membuat keputusan untuk kekal dengan stadium sejuk di samping memiliki venue lain yang dapat digunakan sepanjang tahun.

Al Janoub mampu memuatkan 40,000 tempat duduk dan rekaannya mirip bot tradisional nelayan Qatar dikenali ‘dhow’ dibuka pada Mei lalu dan ketika itulah kali pertama sistem penyejukan itu dipamerkan.

STADIUM Al Janoub mampu kawal suhu. - Foto AFP

“Anda tinggal di dalam gelembung mikro yang iklimnya terkawal,” kata profesor kejuruteraan mekanikal Universiti Qatar yang mengetuai reka bentuk, sambil melambai termometer menunjukkan penurunan suhu sebanyak 14 darjah celcius.

Stadium itu yang pertama daripada tujuh akan siap di Qatar menjelang kejohanan. Enam yang lain dijadualkan bersedia pada akhir 2020 dan yang kelapan iaitu Stadium Antarabangsa Khalifa diubahsuai dan dibuka pada 2017.

Sepanjang padang terdapat muncung paip meniup udara sejuk manakala saluran kecil di bawah tempat duduk mengekalkan suhu antara 24 hingga 26 darjah celcius. Penapis di sekitar stadium menjejaki zon berlainan dan melaraskan aliran dari bilik kawalan.

Ketika disoal mengenai harga sistem penyejuk berkenaan, Abdul-Ghani berkata: “jumlah yang baik”, tanpa memberikan angka. - Reuters

Berita Harian X