Selasa, 24 September 2019 | 6:50am
LIONEL Messi memenangi anugerah Pemain Lelaki Terbaik FIFA awal pagi tadi manakala Megan Rapinoe memenanginya bagi kategori wanita untuk meraikan tahun bersejarah buat ikon Piala Dunia Amerika Syarikat itu. - Foto AFP

Messi, Rapinoe Pemain Terbaik FIFA

MILAN: Lionel Messi memenangi anugerah Pemain Lelaki Terbaik FIFA awal pagi tadi manakala Megan Rapinoe memenanginya bagi kategori wanita untuk meraikan tahun bersejarah buat ikon Piala Dunia Amerika Syarikat itu.

Kejayaan penyerang Barcelona, Messi di Milan adalah kejutan apabila dia mengatasi Virgil Van Dijk, yang menang anugerah Pemain Terbaik UEFA bulan lalu selepas membantu Liverpool di Liga Juara-Juara musim lalu.

Penyerang Juventus, Cristiano Ronaldo juga disenarai pendek tetapi tidak hadir pada majlis di La Scala Opera House ketika dia tewas kepada pencabar utama itu.

Messi, 32, dan Van Dijk, 28, kini pencabar utama Ballon d’Or yang akan diumumkan pada 2 Disember.

Rapinoe menewaskan pemenang Piala Dunia Alex Morgan dan pemain England, Lucy Bronze untuk gelaran wanita manakala jurulatih Amerika Syarikat Jill Ellis menang anugerah jurulatih terbaik.

"Saya berterima kasih kepada mereka yang membuat keputusan memberikan saya pengiktirafan ini," kata Messi.

"Perkara paling penting buat saya ialah anugerah berpasukan, tetapi hari ini juga sangat istimewa buat saya."

Ini adalah kali pertama Messi menang anugerah Pemain Terbaik FIFA yang diperkenalkan pada 2016. Ronaldo menang pada 2016 dan 2017 manakala pemain Croatia, Luka Modric muncul pemenang tahun lalu.

Messi adalah penjaring terbanyak Liga Juara-Juara musim lalu dengan 12 gol sebelum Barcelona disingkirkan Liverpool pada separuh akhir, Barca melepaskan kelebihan tiga gol pada pusingan pertama apabila tewas 4-0 di Anfield.

Pemain Argentina itu juga menang Kasut Emas Eropah selepas menjaringkan 36 gol, menang gelaran La Liga bersama Barcelona dan membantu Argentina meraih gangsa pada Copa America 2019. - AFP

Senarai pemenang Anugerah Terbaik FIFA

Pemain Lelaki Terbaik: Lionel Messi (ARG/Barcelona)

Pemain Wanita Terbaik: Megan Rapinoe (USA/Reign FC)

Penjaga Gol Lelaki Terbaik: Alisson Becker (BRA/Liverpool)

Penjaga Gol Wanita Terbaik: Sari van Veenendaal (NED/Atletico Madrid) 

11 Pemain Lelaki Terbaik Dunia: Alisson Becker (BRA/Liverpool); Sergio Ramos (ESP/Real Madrid), Virgil Van Dijk (NED/Liverpool), Matthijs De Ligt (NED/Juventus), Marcelo (BRA/Real Madrid); Luka Modric (CRO/Real Madrid), Frenkie De Jong (NED/Barcelona), Eden Hazard (BEL/Real Madrid); Lionel Messi (ARG/FC Barcelona), Kylian Mbappe (FRA/PSG), Cristiano Ronaldo (POR/Juventus) 

11 Pemain Wanita Terbaik Dunia: Sari Van Veenendaal (NED/Atletico Madrid); Lucy Bronze (ENG/Lyon), Wendie Renard (FRA/Lyon), Nilla Fischer (SWE/Linkopings), Kelly O'Hara (USA/Utah Royals); Amandine Henry (FRA/Lyon), Julie Ertz (USA/Chicago), Rose Lavelle (USA/Washington); Marta (BRA/Orlando), Alex Morgan (USA/Orlando), Megan Rapinoe (USA/Reign FC) 

Jurulatih Lelaki Terbaik: Jurgen Klopp (Liverpool)

Jurulatih Wanita Terbaik: Jill Ellis (USA)

Anugerah Puskas: Daniel Zsori (HUN/Debrecen)

Anugerah Permainan Bersih: Marcelo Bielsa dan Leeds United

Berita Harian X