Selasa, 24 September 2019 | 12:23am
Pemain pertahanan Liverpool, Andy Robertson.

'Reds tak hirau kedudukan liga'

LONDON: Liverpool memiliki kelebihan lima mata di puncak Liga Perdana Inggeris ketika ini tetapi Andy Robertson berkata pasukan itu tidak akan memandang kedudukan carta sehingga situasinya menjadi ‘menarik.’

Selepas enam perlawanan liga musim 2019-20 berlangsung, skuad kendalian Jurgen Klopp mengutip mata penuh sekali gus meneruskan momentum baik yang diraih musim lalu.

Situasi itu membuatkan ramai pengkritik melihat Reds berupaya untuk menamatkan kemarau kejuaraan dalam tempoh 30 tahun tetapi bagi Robertson, tiada siapa di Anfield benar-benar teruja dengan situasi itu.

“Kami belum memandang kedudukan liga, perjalanannya masih amat jauh,” kata Robertson yang juga pertahanan Scotland. “Jangan salah anggap, cukup hebat apabila kami memiliki kelebihan lima mata tetapi pasti akan ada liku dan halangan, seperti yang berlaku pada musim lalu.

“Kami mendapat permulaan yang bagus tetapi segala-galanya adalah berkaitan meneruskannya dan mengekalkan momentum. Jika kami terus memenangi perlawanan, itu yang paling utama. Tetapi kami tidak akan melihat kepada carta sehingga ia menjadi menarik.”

Pertahanan kental Reds, Virgil van Dijk turut senada dengan pandangan Robertson dan mengakui masih banyak perkara yang boleh terjadi.

“Kami tidak melihat orang lain ketika ini. Musim ini masih panjang. Bagi kami segala-galanya adalah cuba untuk menang, cuba untuk mendapat keputusan dan meningkatkan permainan kami,” kata pertahanan Belanda itu.

Semalam, Liverpool menewaskan Chelsea 2-1 dengan gol kemenangan dijaringkan Trent Alexander-Arnold dan Roberto Firmino. - Agensi

Berita Harian X