Isnin, 23 September 2019 | 6:35pm
Penyerang Manchester United, Marcus Rashford mengalami kecederaan ketika menentang West Ham pada saingan liga Perdana Inggeris, semalam. - Foto Reuters

'Rashford macam bukan penyerang'

LONDON: Keupayaan Marcus Rashford untuk mengetuai jentera serangan Manchester United sekali lagi menjadi perdebatan susulan kekalahan kelab itu kepada West Ham, semalam.

Peranan Rashford di Old Trafford sentiasa berubah dari masa ke masa dengan penyerang kebangsaan England itu beralih daripada memikul tugas sebagai penyerang dan pemain sayap.

Di bawah kendalian Ole Gunnar Solskjaer, pemain berusia 21 tahun itu diberi peranan sebagai penyerang utama dan ia dibalas dengan menjaringkan tiga gol dalam tujuh penampilan musim ini tetapi ia dilihat bekas pengurus, Jose Mourinho sebagai tidak begitu meyakinkan.


Aksi Marcus Rashford (tengah) dikekang pemain West Ham di Stadium London. - Foto London

“Saya tidak berkata dia tidak akan menjadi pemain nombor sembilan, dia boleh menjadi penyerang yang berbahaya jika pihak lawan bukan pragmatik, tidak menutup ruang dan memberi ruang untuk menyerang,” kata Mourinho.

“Ketika peralihan, dia boleh menjadi amat merbahaya. Tetapi apabila Manchester United bermain menentang pasukan yang menutup pintu, parkir bas, parkin bas bertingkat, dia bukan penyerang yang berupaya menjaringkan gol.

“Dia bukan penerima hantaran, dia tidak menjaringkan begitu banyak gol seperti yang penyerang harus lakukan jadi saya fikir dari sudut itu kamu akan melihat dia akan menjaringkan 10 atau 12 gol semusim.

“Dia amat profesional, dia bekerja bersama pasukan, dia faham apa yang kamu arahkan dia lakukan dari sudut bertahan. Bermain dari sisi dia boleh menjadi pemain yang amat bagus, mungkin lebih bagus berbanding penyerang. 

“Tetapi dia merasakan dia mengisi nombor sembilan dan saya fikir pengurus merasai perkara yang sama,” katanya sambil dipersetujui bekas pemain tengah United, Roy Keane.

United begitupun tidak lagi boleh mengharap ketajaman Rashford selepas dia terpaksa diketepikan selepas mengharungi kecederaan ketika kekalahan 2-0 Red Devils kepada West Ham.

Tanpa khidmat Anthony Martial yang turut cedera, United terpaksa mengharapkan pemain berusia 17 tahun, Mason Greenwood untuk mengemudi jentera serangan pasukan itu bagi beberapa perlawanan berikutnya. - Agensi

Berita Harian X