Sabtu, 21 September 2019 | 9:16pm
Jurulatih Real Madrid, Zinedine Zidane. - Foto EPA
Jurulatih Real Madrid, Zinedine Zidane. - Foto EPA

Zidane tak kisah Mourinho dikaitkan dengan Real

MADRID: Jurulatih Real Madrid, Zinedine Zidane berkata dia tidak peduli dengan kritikan hebat terhadapnya selepas tewas 3-0 di tangan Paris St Germain pada Liga Juara-Juara dan tidak kisah dengan media Sepanyol yang terus mengaitkan Jose Mourinho dengan tugasnya itu.

Real berdepan bukan pasukan terkuat PSG awal pagi Khamis lalu tanpa Neymar, Edinson Cavani dan Kylian Mbappe tetapi menampilkan persembahan longgar apabila gagal menemui sebarang sasaran tepat dalam Liga Juara-Juara buat pertama kali dalam 16 tahun.

“Saya tidak berminat dengan apa diperkatakan di luar kelab, hari saya memberikan perhatian terhadap apa diperkatakan akhbar ialah hari saya akan meninggalkan kelab,” kata Zidane pada sidang akhbar menjelang kunjungan Real berdepan pendahulu La Liga, Sevilla, awal pagi Isnin ini.

“Saya rasa berada dalam posisi yang kuat dan saya tidak pernah berputus asa. Saya akan sentiasa mencuba hingga minit terakhir dan selagi kelab memberikan peluang untuk saya meneruskannya. Saya tidak rasa dipersoalkan.”

Media Sepanyol melaporkan Presiden Real, Florentino Perez berminat untuk melantik bekas jurulatih, Mourinho yang kini tiada kelab sekiranya Zidane dilepaskan.

“Saya tidak kisah dengan spekulasi membabitkan Mourinho,” kata jurulatih dari Perancis itu yang mengetuai Real meraih tiga gelaran Liga Juara-Juara berturut-turut sebelum meletak jawatan pada 2018.

Namun sehingga kini dia hanya menang tujuh daripada 16 perlawanan sejak kembali ke kelab itu pada Mac. - Reuters

Berita Harian X