Rabu, 18 September 2019 | 5:05pm
AKSI pemain Malaysia Warrior, Abid Safaraz ketika menentang Ventforet Kofu pada final Kejohanan Bola Sepak Piala Global J Green Sakai di Osaka, Jepun yang berkesudahan Malaysia Warrior menang 2-0, kelmarin.

Abid Safaraz mahu timba ilmu di Liga J

KUALA LUMPUR: "Saya mahu bawa ibu ke Makkah," kata pelatih Akademi Tunas Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP), Abid Safaraz Rozaidi.

Itu janji pemain berusia 12 tahun itu yang sedia berkorban untuk berjauhan dengan keluarga sekiranya mendapat tempat bersama pasukan Divisyen Satu Liga Jepun (Liga J), Cerezo Osaka susulan prestasi cemerlangnya pada Kejohanan Bola Sepak Piala Global J Green Sakai di Osaka, baru baru ini.

Kehebatannya meledak dua gol ketika menewaskan Cerezo Osaka pada aksi suku akhir pertandingan itu membuatkan pasukan dari Jepun itu dilihat tertarik untuk mendapatkan khidmat pemain muda itu.

“Saya tidak menyangka Cerezo Osaka berminat dengan saya kerana saya biasa sahaja dan tidak hebat mana. Kalau berita itu benar, saya sangat gembira untuk menyertai mereka walaupun tahu saya akan berjauhan dengan keluarga.

“Saya akan rindu dengan keluarga jika saya berada di sini tetapi ia bukanlah satu halangan. Ini kerana ilmu dan pengalaman yang bakal saya peroleh di sini nanti sangat berharga dan boleh menjadikan saya pemain bola sepak yang berjaya. 

"Mereka mempunyai fasiliti latihan yang baik serta corak latihan berbeza berbanding di Malaysia. Saya mahu menjadi pemain bola sepak yang berjaya kerana mahu mengumpul duit untuk membawa ibu ke Makkah," katanya.

Terdahulu, Pengarah Urusan Pengarah Urusan Yakult Malaysia (M) Sdn Bhd, Hiroshi Hamada menyatakan Cerezo Osaka tertarik dengan aksi tiga pemain muda iaitu Abid Safaraz Rozaidi, Ahmad Zamil Zaqwan Samsulkama dan Muhamad Azmer Masri Ahmad.

Berita Harian X