Rabu, 18 September 2019 | 7:38am
Pemain Napoli, Giovanni Di Lorenzo (kiri) dihalang pemain Liverpool, Andy robertson pada aksi perlawanan Liga Juara-Juara, awal pagi tadi. - Foto EPA

Liverpool kecewa di Naples 

NAPLES: Juergen Klopp kecewa dengan persembahan longlai Liverpool tatkala anak buahnya memulakan saingan Kumpulan E Liga Juara-Juara dengan kekalahan 0-2 di tangan Napoli, di Stadio San Paolo, awal pagi tadi.

Dries Mertens menyempurnakan penalti ketika perlawanan berbaki lapan minit selepas Andy Robertson menjatuhkan Jose Callejon dalam petak penalti dan pemain gantian tuan rumah Fernando Llorente menjaringkan gol kedua pada minit kecederaan bagi memastikan mata penuh.

Anak buah Klopp muncul juara bertahan yang kalah perlawanan pembukaan sejak nasib sama menimpa AC Milan yang dikejutkan Ajax Amsterdam pada 1994.

"Ia sangat mengecewakan kerana terlepas peluang ini,” kata Klopp kepada BT Sport.

”Ini adalah perlawanan pembukaan dengan menyaksikan banyak serangan balas tapi kami gagal menyudahkannya dan itulah masalahnya. Pada babak kedua ia agak ganas dan semua pemain banyak berlari.”

Klopp juga kecewa dengan penalti yang diberikan kepada tuan rumah selepas Robertson ‘mengasari’ Callejon.

"Saya tidak fikir ia adalah penalti.” katanya. “Apa yang boleh saya katakan ialah ia jelas bukan penalti. Dia merebahkan diri sebelum disentuh, kami tidak boleh mengubah keputusan itu.”

Sebelum itu, pemain Napoli,  Hirving Lozano menanduk dari jarak dekat namun ia didapati ofsaid sebelum Sadio Mane memaksa penjaga gol tuan rumah, Alex Meret menyelamatkan cubaannya disusuli tandukan Roberto Firmino sebelum rehat.


Pemain Liverpool, Mohamed Salah (tengah) melihat bola tendanganya dapat diselamatkan penjaga gol Napoli, Alex Meret pada perlawanan Liga Juara-Juara, awal pagi tadi. - Foto AFP

Sebaik babak kedua bersambung, penjaga gol Liverpool, Adrian menafikan cubaan Mertens sebelum Meret merebahkan diri untuk menangkis cubaan Salah yang tersasar.

Namun dua jaringan masing-masing dari Mertens dan Llorente itu memberikan tuan rumah tiga mata untuk Carlo Ancelotti yang turut menewaskan Liverpool di gelanggang mereka dalam peringkat sama musim lalu.

“Kami bekerja keras sebagai satu unit untuk menahan serangan dan menyerap semua asakan dan berjaya mengawal situasi lawan dan saya fikir kami berjaya melakukannya dengan baik,” kata Ancelotti kepada Sky Sport Italia.

“Kami berasa yakin dengan gol kedua itu, ia hampir menuju ke penamat dan kami di depan. Kamu boleh menekan sejak mula. Saya suka kualiti pemain saya, tapi adakalanya, jika terpaksa, kami bermain teruk juga.”

Dalam satu lagi saingan Kumpulan E, Salzburg memulakan langkah dengan kemenangan besar membelasah Genk 6-2 di laman sendiri.

Erling Haaland meledak hatrik di babak pertama dan muncul pemain ketiga paling muda meledak tiga gol pada usia 19 tahun dan 58 hari di belakang Raul (18 tahun 113 hari) dan Wayne Rooney (18 tahun  340 hari). –  Reuters

Berita Harian X