Isnin, 16 September 2019 | 9:02pm
Malaysia Warrior meraikan kejayaan muncul juara Kejohanan Bolasepak Piala Global J Green di Osaka, hari ini.
Malaysia Warrior meraikan kejayaan muncul juara Kejohanan Bolasepak Piala Global J Green di Osaka, hari ini.

Malaysia Warrior juara Piala Global J Green

KUALA LUMPUR: Wakil negara Malaysia Warrior muncul juara Kejohanan Bolasepak Piala Global J Green yang berlangsung di Pusat Latihan Bolasepak Kebangsaan Jepun J Green di Osaka hari ini.

Kejohanan yang menampilkan pemain berbakat berusia bawah 12 tahun (B-12) itu menyaksikan Malaysia Warrior menundukkan wakil Jepun, Ventforet Kofu menerusi jaringan 2-0 hasil jaringan Ahmad Zamil Zaqwan Samsulkama dan Muhamad Amir Asyraf Yusnizam.

Jurulatih pasukan Malaysia Warrior, Mohd Reszuan Mustapai mengakui pencapaian anak buahnya sedikit sebanyak dapat membuktikan betapa pemain muda negara turut setaraf dengan pemain daripada negara terkemuka yang lain.

"Final sememangnya berlangsung dengan sengit dan kita bergelut pada separuh masa pertama. Pemain mengikut perancangan yang ditetapkan dan menyerap tekanan sehingga berjaya mendapatkan gol,” kata Reszuan.

"Bagi saya, semua pemain sudah menunjukkan aksi yang terbaik dan memperagakan semangat berpasukan yang begitu tinggi. Kita bertemu pasukan yang hebat dan ada nama namun kita berjaya menjadi juara."

Terdahulu, Malaysia Warrior bangkit daripada kekalahan 4-1 pada aksi pertama untuk memenangi semua baki empat perlawanan peringkat kumpulan dan mereka menewaskan Cerezo Osaka 2-1 pada aksi suku akhir sebelum mengesahkan tiket ke final apabila mengetepikan wakil India, RYFU dengan keputusan 1-0.

Sementara itu, satu lagi wakil negara, Malaysia Tiger menamatkan saingan di tempat ke-13 daripada 24 pasukan yang mengambil bahagian.

Sebagai rekod, penyertaan kali ini disertai Thailand, Jepun dan India dengan antara pasukan yang turut menghantar pemain mereka adalah Buriram FC (Thailand) dan kelab dari Jepun seperti Cerezo Osaka, Vissel Kobe, Fagiano Okayama dan Tokushima Voltis.

Bagi kejohanan yang turut mendapat tajaan Yakult (M) Sdn Bhd itu, dua wakil negara ditunjangi 21 pelatih dari Akademi Tunas Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) dan seorang pelatih daripada Akademi Johor Darul Ta'zim (JDT).

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X