Sabtu, 14 September 2019 | 11:36pm
Pemain Perak, Mohd Nor Hakim Hassan (kanan) cuba melepasi halangan kapten Pahang, Matthew Thomas Davies dalam saingan Piala Malaysia di Stadium Perak, Ipoh. - NSTP/Muhaizan Yahya
Pemain Perak, Mohd Nor Hakim Hassan (kanan) cuba melepasi halangan kapten Pahang, Matthew Thomas Davies dalam saingan Piala Malaysia di Stadium Perak, Ipoh. - NSTP/Muhaizan Yahya
Pemain Perak, Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi (kiri) meraikan jaringan kedua Perak bersama rakan sepasukan dalam saingan Piala Malaysia di Stadium Perak, Ipoh. - NSTP/Muhaizan Yahya

Perak calar rekod Pahang

IPOH:  Perak melakar kemenangan di laman sendiri selepas menewaskan Pahang 3-1 dalam aksi  kumpulan saingan Piala Malaysia di Stadium Perak, di sini malam ini.

Kejayaan itu sekali gus membolehkan skuad The Bos Gaurus mengutip tiga mata penuh dan berada di landasan tepat untuk mengiringi Pahang melangkah ke pusingan seterusnya.

Kekalahan pasukan pelawat itu bagaimanapun tidak mencalar kedudukannya sebagai juara kumpulan dengan mengutip 12 mata dalam kedudukan carta, tetapi menamatkan deretan empat kemenangan anak buah Dollah Salleh dalam kempen kali ini. 

Pada perlawanan itu, skuad kendalian Mehmet Durakovic mendahului permainan menerusi jaringan Ronaldo da Silva yang menyambar hantaran Mohd Nor Hakim Hassan pada minit ke-31. 

Pahang nyaris menyamakan kedudukan apabila mendapat peluang mudah pada minit ke-38 di hadapan gol namun gagal dimanfaatkan oleh Lazarus Kaimbi apabila tendangannya tersasar di sebelah kanan gawang. 

Bagaimanapun, Perak terus memburu jaringan dengan mengatur serangan dan tandukan Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi menerjah gawang Pahang pada minit ke-44.

Bersambung babak kedua, skuad The Bos Gaurus tidak menunggu lama untuk terus di hadapan dengan jaringan kedua Muhammad Shahrel Fikri pada minit ke-47.

Skuad Tok Gajah akhirnya memecah kebuntuan apabila rembatan Kaimbi yang tidak dikawal menewaskan penjaga gol Perak, Muhammad Hafizul Hakim Khairil Nizam pada minit ke-85.

Berita Harian X