Rabu, 11 September 2019 | 11:09am
STUART Ramalingam

Aduan 18 muka surat

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan sudah mengemukakan aduan rasmi kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), semalam.

Aduan itu berkaitan insiden kekecohan penyokong Indonesia yang didakwa menyerang penyokong Harimau Malaya ketika aksi pertama Kumpulan G kempen kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, Khamis lalu.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam menjelaskan laporan atau aduan berjumlah 18 muka surat itu turut disertakan dengan bukti membabitkan insiden yang berlaku di Stadium Gelora Bung Karno itu.

"FIFA sudah menerima laporan daripada pegawai komisioner perlawanan dan pegawai keselamatan," kata Stuart ketika dihubungi BH Sukan.

"Laporan atau aduan yang kami buat ini untuk perhatian FIFA yang mana ada perkara yang mungkin tiada dalam laporan yang mereka terima daripada komisioner perlawanan dan pegawai keselamatan.

"Antara bukti yang kami sertakan dalam aduan itu termasuk pautan (link) video dan gambar insiden terbabit sama ada yang berlaku di dalam dan luar stadium.

"Bukti itu kami dapat daripada beberapa sumber termasuk video yang tersebar di media sosial. Kami percaya FIFA dan AFC akan membuat keputusan terbaik berdasarkan penilaian mereka berdasarkan bukti yang ada."

Terdapat kemungkinan PSSI akan dikenakan hukuman berat termasuk denda dan beraksi tanpa penyokong oleh FIFA, jika berdasarkan rekod hukuman yang dikenakan oleh badan induk dunia itu apabila membabitkan insiden kekecohan penyokong.

Berdasarkan rekod sebelum ini, FAM juga pernah didenda 40,000 Swiss francs (kira-kira RM169,000) dan beraksi satu perlawanan tanpa penonton selepas penyokong Harimau Malaya menimbulkan kekecohan di Stadium Shah Alam ketika kelayakan Piala Dunia 2018 berdepan Arab Saudi pada September 2015.

2180 dibaca
Berita Harian X