Rabu, 11 September 2019 | 7:06am
GARETH Southgate

Southgate minta perbaiki pertahanan

SOUTHAMPTON, United Kingdom: Pengurus England, Gareth Southgate menegaskan pasukannya perlu memperbaiki kesilapan pertahanan yang “jelas” selepas sekali lagi dibantu kehebatan barisan serangan untuk menang 5-3 mengatasi Kosovo di Southampton.

Jadon Sancho menjaringkan gol antarabangsa pertamanya dan Harry Kane, Raheem Sterling juga menemui sasaran ketika barisan Southgate menjaringkan 19 gol dalam empat perlawanan kelayakan Euro 2020.

Bagaimanapun usaha bagus dilakukan tiga penyerang depan diganggu kesilapan pertahanan tengah, Michael Keane dan Harry Maguire, ketika England melepaskan tiga gol di laman sendiri dalam kelayakan buat pertama kali dalam 12 tahun.

“Ia perlawanan yang pelik,” kata Southgate. “Anda kesilapan yang jelas untuk gol tetapi saya gembira dengan apa yang ditunjukkan.

“Kami memiliki corak serangan yang bagus dan kami gunakan bola dengan baik.

“Persembahan baik kami adalah jelas. Kesilapan juga jelas.”

Kosovo melalui 15 perlawanan tanpa kalah sejak dua tahun lalu dan diberikan ruang untuk membuat penampilan diidamkan selepas hanya diterima menjadi ahli FIFA tiga tahun lalu.

Hanya selepas 35 saat, kesilapan hantaran Keane membenarkan Valon Berisha meledak melepasi Jordan Pickford dan pelawat mendahului.

England bangkit dengan gaya tersendiri. 

Ia satu lagi pertunjukan kepantasan dan kekuatan yang menjadikan skuad Three Lions antara pilihan pada Euro 2020 sekiranya mereka memastikan formaliti tempat ke kejohanan musim panas itu.

Pasukan yang layak ke separuh akhir Piala Dunia itu tiga mata di persada Kumpulan A di depan Republik Czech yang menang 3-0 di Montenegro. - AFP

1639 dibaca
Berita Harian X