Selasa, 10 September 2019 | 8:35am
JOACHIM Loew
JOACHIM Loew

Loew lega Jerman atasi Ireland Utara

BELFAST: Jurulatih Jerman, Joachim Loew berkata pasukannya masih dalam “fasa pembelajaran” selepas mereka kembali mengemudi kempen kelayakan Euro 2020 ke landasan sebenar selepas kemenangan 2-0 mengatasi Ireland Utara awal pagi tadi.

Jerman ke Belfast dengan memerlukan kemenangan selepas tewas 4-2 di laman sendiri kepada Belanda di Hamburg Jumaat lalu menyebabkan mereka berdepan bahaya tersingkir daripada kelayakan automatik.

Bagaimanapun kemenangan awal pagi tadi menyaksikan mereka menendang Ireland Utara dari persada Kumpulan C, menamatkan rentetan empat kemenangan daripada empat perlawanan skuad kendalian Michael O’Neill.

“Kami berdepan tekanan selepas kekalahan kepada Belanda,” kata Loew kepada RTL.

Rasa gementar pasukannya ditunjukkan pada babak pertama sebelum jaringan Marcel Halstenberg dan Serge Gnabry memastikan tiga mata penuh.

“Kami perlu mengatasi beberapa masalah dalam perlawanan – Ireland Utara sangat berani dan menyerang kami sejak awal,” kata Loew yang mengakui pasukannya patut menamatkan saingan lebih awal.

“Kami lebih baik pada babak kedua. Kami dalam fasa pembelajaran,” katanya. - AFP

Berita Harian X