Ahad, 8 September 2019 | 10:14am
France's forward Kingsley Coman (1st-L) fights for the ball with Albania's midfielder Amir Abrashi (2nd-L) during the UEFA Euro 2020 qualifying Group H football match between France and Albania at the Stade de France stadium in Paris on September 7, 2019. (Photo by Lionel BONAVENTURE / AFP)

Coman bantu Perancis atasi Albania

SAINT-DENIS, Perancis: Kingsley Coman meledak dua kali ketika membantu juara dunia Perancis menewaskan Albania 4-1 untuk kembali mendahului Kumpulan H kelayakan Euro 2020.

“Ia berjalan lancar buat saya,” kata Coman, penyerang Bayern Munich yang tidak bersama skuad Perancis ketika menjuarai Piala Dunia tahun lalu.

Dia diturunkan pada perlawanan menentang Albania bagi menggantikan Kylan Mbappe, salah seorang daripada tiga pemain daripada kesebelasan utama pada final di Moscow tahun lalu yang tidak beraksi akibat kecederaan.

Ketika ditanya sama ada Coman kembali meletakkan karier antarabangsanya di landasan yang betul, pengendali Perancis Didier Deschamps berkata: “Ia hampir sama dengan apa yang dia lakukan untuk Bayern tahun lalu. Dia lebih cenderung kepada gol, dia lebih tajam.”

 

Iceland mendahului seketika Kumpulan H selepas menewaskan Moldova 3-0 pada perlawanan yang berlangsung lebih awal, dan disertai Turki yang menjaringkan gol minit terakhir untuk mengatasi Andorra 1-0, dan Les Bleus mendahului dengan kelebihan perbezaan gol.

Perlawanan di Perancis bermula lewat kerana tuan rumah memainkan lagu kebangsaan Andorra untuk Albania.

“Ia perkara yang besar,” kata pengendali Albania dari Itali, Edoardo Reja. “Pemain-pemain berkata mereka tidak akan memulakan permainan tanpa lagu yang betul.”

Selepas pengacara stadium memohon maaf dan memainkan lagu yang betul barulah perlawanan dimulakan.

Perancis membuka jaringan selepas lapan minit apabila Coman, yang meledak gol antarabangsa pertamanya sejak Mac 2016, memanfaatkan lorongan Raphael Varane.

 

Olivier Giroud menjaringkan gol antarabangsa ke-36 dirinya pada minit ke-27 selepas menerima hantaran Lucas Hernandez.

Sembilan minit sebelum rehat, Hernandez mendapatkan penalti untuk Perancis tetapi sepakan diambil Antoine Griezman terkena palang.

Perancis menguasai babak kedua dan Coman meledak gol keduanya pada minit ke-68 selepas mendapat umpanan daripada Griezmann di dalam kotak penalti.

Jonathan Ikone, yang menggantikan Coman untuk penampilan sulungnya bersama Perancis, meledak gol keempat pada minit ke-85.

Albania menjaringkan gol tunggal pada minit terakhir selepas Sokol Cikalleshi dijatuhkan oleh Hugo Lloris dan kemudian menyempurnakan sepakan penalti. – AFP

 

 

Berita Harian X