Jumaat, 6 September 2019 | 12:34pm
Perlawanan dihentikan seketika akibat penyokong memasuki padang ketika perlawanan di antara Malaysia dengan Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno, malam tadi. - NSTP/Eizairi Shamsudin

Kapten Garuda kesal kekecohan dicetus penyokong

JAKARTA: Kapten skuad Indonesia, Andritany Ardhiyasa mengaku bahawa tindakan segelintir penyokong tuan rumah lebih menyakitkan hatinya berbanding kekalahan 2-3 di tangan Malaysia dalam saingan pertama Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Utama Gelora Bung Karno, malam tadi.

Menurut Andritany, perbuatan penyokong Indonesia telah menconteng nama baik bangsa Indonesia.

"Saya sebagai kapten timnas sangat sedih. Seharusnya para pendukung menerima apapun hasil pertandingan.


KAPTEN skuad Indonesia, Andritany Ardhiyasa.

“Kalau saya secara peribadi tidak terlalu terganggu dengan kelakuan suporter karena sudah terbiasa demikian, tetapi itu seharusnya tak boleh jadi kebiasaan," kata penjaga gawang kelab Persija Jakarta itu.

Dalam perlawanan malam tadi, Indonesia kalah 2-3 di tangan Malaysia pada aksi pertama Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022.

Dua gol Indonesia dicetak oleh Alberto Goncalves (m-12, m-39), sementara gol Malaysia dihasilkan oleh Mohamadou Sumareh (m-37, 90+6) dan Muhammad Syafiq Ahmad (m-66).

Kekalahan itu meletakkan Indonesia untuk sementara berada di kedudukan terbawah atau kelima Kumpulan G, sementara Malaysia berada di puncak dengan tiga mata.


Perlawanan dihentikan selepas kekecohan ketika perlawanan pusingan Kelayakan Piala Dunia 2022 di antara Malaysia menentang Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno. - NSTP/Eizairi Shamsudin

Pasukan keselamatan masih berkawal di luar stadium selepas tamat perlawanan pusingan Kelayakan Piala Dunia 2022 di Stadium Gelora Bung Karno, malam tadi. - NSTP/Eizairi Shamsudin

Dalam satu lagi pertembungan Kumpulan G, Thailand dan Vietnam terikat seri 0-0.

Dalam pertembungan dengan Malaysia itu, segelintir penyokong Indonesia mencetus kekecohan sekali gus menyaksikan pertandingan terpaksa dihentikan selama sekitar 10 minit di pertengahan babak kedua.

Peristiwa tepatnya tercetus ketika kedudukan terikat 2-2 dengan menyaksikan beberapa penyokong Indonesia turun hingga ke garisan trek di tepi padang stadium.

Kumpulan penyokong berkenaan juga mengejek hingga melepasi tempat duduk penyokong Malaysia dengan melontar botol minuman dan bom asap.

Kekecohan terus berlaku selesai pertandingan sekali gus memaksa pihak keselamatan stadium dikerah menyuraikan kekecohan manakala pasukan pelawat diiringi keluar menggunakan kenderaan tentera. - Agensi 

Berita Harian X