Jumaat, 6 September 2019 | 11:25am
CRISTIANO Ronaldo (kiri) dan Neymar.
CRISTIANO Ronaldo (kiri) dan Neymar.

Juventus idam gandingan Ronaldo, Neymar

TURIN, Itali: Juventus dilaporkan berhasrat menggandingkan Cristiano Ronaldo dan Neymar musim panas ini dengan juara Itali itu menawarkan Paulo Dybala serta 100 juta euro (RM461.4 juta) kepada Paris Saint-Germain ketika jendela perpindahan lalu.

Neymar tidak berselindung dalam menyatakan keinginannya untuk meninggalkan PSG dan dijangka kembali bersama Barcelona pada hari terakhir sebelum jendela ditutup.

Tetapi sehingga hari terakhir dan Neymar masih di PSG, Juventus dilaporkan turut mengatur langkah untuk membawanya ke Turin bagi membentuk gandingan impian dengan Ronaldo.

Neymar, yang masih belum diturunkan oleh Paris Saint-Germain musim ini, berusaha untuk keluar dari kelab Perancis itu sepanjang musim panas tetapi fokus utama adalah berpindah ke Sepanyol.

Bagaimanapun Juventus berhasrat menyaksikan Neymar bergandingan dengan Ronaldo dan Dybala bakal menjadi senjata utama kelab Itali itu untuk merealisasikan perpindahan pemain Brazil berkenaan.

Namun Dybala berkeras mahu kekal di Turin dan bersama Ronaldo, sehingga menyebabkan rundingan untuk membawa Neymar gagal.

Ketika Juventus menawarkan Dybala sebagai pertukaran, PSG menolaknya kerana mahu menunggu tawaran lebih lumayan untuk Neymar selepas membelanjakan 198 juta pound (RM1.02 bilion) ketika mendapatkan pemain itu dari Barcelona dua tahun lalu.

Ronaldo sudah mula menyesuaikan diri di Turin sejak berpindah dari Real Madrid musim lalu dan memainkan peranan penting dalam meraih gelaran Serie A kelapan berturut-turut kelab itu.

Kini Ronaldo diharapkan untuk membawa kelab menamatkan kemarau trofi Liga Juara-Juara yang kali terakhir dijulang pada tahun 1996.

Neymar pula dijangka akan kembali menyertai skuad PSG kendalian Thomas Tuchel selepas tamat rehat perlawanan antarabangsa. – AGENSI

 

 

Berita Harian X