Khamis, 5 September 2019 | 1:52pm
SKUAD Harimau Malaya kendalian Tan Cheng Hoe giat berlatih sebagai persediaan menghadapi pusingan kelayakan kedua Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023 menentang Indonesia. - Foto BERNAMA
SKUAD Harimau Malaya kendalian Tan Cheng Hoe giat berlatih sebagai persediaan menghadapi pusingan kelayakan kedua Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023 menentang Indonesia. - Foto BERNAMA

'Harimau Malaya perlu terkam Garuda dengan berani'

KUALA LUMPUR: Harimau Malaya diklasifikasikan dalam order karnivor, genus panthera dan spesies tigris. Ini menonjolkan sifat Harimau Malaya haiwan yang menggerunkan, ganas tetapi pintar.

Dalam jata negara, Harimau Malaya di tempatkan di kiri dan kanan lambang kebanggaan negara yang membawa maksud berani mempertahankan tanah air.

Dalam konteks ini, mampukah pasukan kebangsaan yang mengguna pakai nama Harimau Malaya untuk layak ke Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023? Semuanya akan bermula di Jakarta, malam ini.

Sifir untuk layak semudah mencari mata maksimum di Stadium Nasional Bukit Jalil dan mengelak menerima kekalahan di gelanggang lawan. Namun perlaksanaanya menuntut perjuangan ikhlas, persediaan rapi dan sokongan penuh daripada penyokong.

Ini adalah satu perjuangan yang memakan masa panjang dan perlu disusun kemas supaya fokus pasukan tetap utuh untuk layak.

Ditakdirkan langkah pertama Harimau Malaya bermula di sarang Sang Garuda, kita bakal berdepan sorakan gamat daripada penyokong fanatik mereka di Gelora Bung Karno.

Entah apalah perasaan pemain negara ketika ini namun saya yakin mereka mampu menyerap tekanan dan mengaum ganas.

Tak salah untuk mereka menyimpan azam mencipta keputusan yang baik, mencuri satu mata, malah mungkin lebih cemerlang membawa pulang tiga mata yang pertama.

Kehadiran Ultras Malaya seharusnya menjadi pembakar semangat pemain bola sepak negara. Betapa beruntungnya mereka kerana pasukan negara sebelum ini beraksi sendiri tanpa penyokong di gelanggang lawan.

Sekiranya ada, mereka hanyalah kakitangan kedutaan dan beberapa penduduk Malaysia yang mencari rezeki di sana.

Hari ini Ultras Malaya telah mempunyai ‘awayday fan’ yang setia. Mereka bersedia mengorbankan masa dan wang ringgit untuk sama-sama menemani di pentas manapun Harimau Malaya beraksi.

Hakikatnya untuk pemain negara, dari segi sokongan di dalam dan luar negara ‘kami selalu ada’. Masih segar di ingatan debaran perlawanan separuh akhir piala AFF di Rajamanggala, Thailand.

Skuad Gajah Perang ditunjukkan jalan keluar di gelanggang mereka sendiri secara merit. Tanpa di jangka mereka akan sekalilagi menjadi saingan Harimau Malaya dalam kumpulan ini.

Harus diingat Thailand menjanjikan kejohanan ini sebagai medan membalas dendam. Saingan kali ini pasti berliku namun kemenangan mampu direalisasi.

Saingan seterusnya akan menjanjikan pasukan yang lebih kuat - skuad ‘Naga Emas’ Vietnam dan ‘The Whites’ UAE.

Mereka pilihan utama untuk layak dalam kumpulan ini berdasarkan prestasi semasa. Namun, biarlah urusan itu diselesaikan di dalam gelanggang.

Saya meletakkan sasaran wajib untuk menang apabila kita berentap dengan mereka di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Sebarang keciciran mata pasti akan menutup sedikit demi sedikit ruang untuk layak ke peringkat lebih tinggi. Di gelanggang lawan, berusahalah mencipta satu mata dan memastikan pintu gol tidak dibolosi.

Wajar untuk kita menganggap inilah perlawanan yang mampu menghadirkan peluang keemasan untuk layak seandainya kemenangan terhasil.

Mana-mana pasukan yang keciciran mata di gelanggang sendiri mungkin boleh melupakan peluang untuk layak. Harimau Malaya ada barisan kejurulatihan dan pemain yang berkemampuan mencipta kejutan.

Suasana dalam pasukan juga sangat baik, pemain utama semakin serasi di samping barisan simpanan yang mempunyai standard yang hampir sama.

Ini menjanjikan setiap jentera pasukan tidak akan terjejas teruk seandainya pemain utama ditimpa kecederaan ataupun berdepan penggantungan.

Ayuh Harimau Malaya teruskan melangkah tanpa gentar, sentiasa tajam memerhatikan gerakan mangsamu. Andai diasak, mengaumlah penuh garang.

Andai menyerang, langkah jangan sumbang. Intai peluang dengan bijak dan menerkamlah dengan berani. Gerakanmu pasti memukau lawan.

Sumpah keramat penyokong sudahpun dilafazkan, kami akan terus menjadi ekor Harimau Malaya sejati.- Muzaimi Izambri Mustafa (Penyokong Harimau Malaya)

Berita Harian X