Ahad, 1 September 2019 | 7:56am
PEMAIN Juventus, Gonzalo Higuain (kiri) mengasak pemain Napoli, Kalidou Koulibaly pada aksi Serie A di Stadium Juventus, awal pagi tadi. - Foto AFP
PEMAIN Juventus, Gonzalo Higuain (kiri) mengasak pemain Napoli, Kalidou Koulibaly pada aksi Serie A di Stadium Juventus, awal pagi tadi. - Foto AFP

Koulibaly musnah impian Napoli

MILAN: Kalidou Koulibaly 'menghadiahkan' kemenenangan dramatik buat Juventus apabila menjaringkan gol sendiri pada saat akhir yang mengecewakan pasukannya Napoli dengan kekalahan 4-3, awal pagi tadi.

Malah, kesilapan dilakukan Koulibaly muncul selepas pasukan bertungkus-lumus bangkit daripada ketinggalan tiga gol untuk menyamakan kedudukan.

Pemain kebangsaan Senegal itu terkena sepakan percuma Paulo Dybala pada minit kedua masa tambahan yang membenarkan Juve meraih tiga mata di Turin dan meletakkan pasukan kendalian Maurizio Sarri mendahului carta Serie A dengan enam mata.

"Satu jaringan sendiri yang begitu mengecewakan saya kerana ia terjadi selepas kami melakukan kebangkitan luar biasa," kata Koulibaly. "Saya mohon maaf tetapi saya juga harus ... kami harus menerimanya. Kami kuat. Kami sudah menunjukkannya. Kami akan membuktikannya."

Kesalahan Koulibaly meranapkan setiap usaha kebangkitan dilakukan Napoli pada baki setengah jam permainan yang menyaksikan Danilo membuka tirai jaringan buat Juventus pada minit ke-16 - 20 saat selepas dimasukkan dari bangku simpanan.

PEMAIN Juventus, Cristiano Ronaldo (kiri) diasak pemain Napoli, Kalidou Koulibaly pada aksi Serie A di Stadium Juventus, awal pagi tadi. - Foto Reuters
PEMAIN Juventus, Cristiano Ronaldo (kiri) diasak pemain Napoli, Kalidou Koulibaly pada aksi Serie A di Stadium Juventus, awal pagi tadi. - Foto Reuters

Rakan sepasukannya, Gonzalo Higuain - yang kembali ke Juve selepas dipinjamkan ke AC Milan dan Chelsea - meledak gol kedua selang tiga minit kemudian manakala Cristiano Ronaldo menambah jaringan pada minit ke-61.

Bagaimanapun dua gol dihasilkan Kostas Manolas dan Hirving Lozano menjadi pencetus semangat buat Napoli untuk terus berjuang. Giovanni Di Lorenzo menjaringkan gol ketiga dan penyamaan permainan pada baki sembilan minit perlawanan sekali gus menjadikan perlawanan bertambah sengit.

Namun dengan satu mata hampir pasti menjadi realiti, Koulibaly menutup tirai perlawanan dengan mimpi ngeri buat pasukan kendalian Carlo Ancelotti, menamatkan permainan dengan kekalahan 4-3.

"Kami hilang kawalan permainan dan rasa terganggu, jadi mereka mampu menyamakan kedudukan namun tuah memihak kami pada penghujung permainan dan kami menang," kata Higuain.

Ancelotti dalam pada itu berkata: "Bukan satu prestasi yang positif. Satu jam pertama, kami tidak beraksi dengan baik. Namun dengan (ketinggalan) 3-0 kami masih berada dalam permainan, kami bangkit semula." – AFP

REAKSI pemain Napoli, Kalidou Koulibaly selepas menjaringkan gol sendiri dalam perlawanan menentang Juventus pada aksi Serie A di Stadium Juventus, awal pagi tadi. - Foto AFP
REAKSI pemain Napoli, Kalidou Koulibaly selepas menjaringkan gol sendiri dalam perlawanan menentang Juventus pada aksi Serie A di Stadium Juventus, awal pagi tadi. - Foto AFP

Berita Harian X