Isnin, 26 Ogos 2019 | 8:31am
FOTO hiasan.
FOTO hiasan.

Wanita Iran dibenar tonton bola sepak lelaki

DUBAI: Kerajaan Iran akan membenarkan penyokong wanita memasuki stadium untuk menyaksikan perlawanan bola sepak lelaki mulai pusingan Kelayakan Piala Dunia 2022 Oktober ini, lapor agensi berita IRNA, semalam.

Difahamkan, kelonggaran itu ada kaitan selepas Kementerian Sukan ditekan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) yang mendesak Iran membenarkan kaum Hawa menonton perlawanan bola sepak lelaki tanpa sekatan.

Wanita Iran dilarang memasuki stadium membabitkan perlawanan lelaki sejak pertukaran pemerintahan selepas Revolusi Iran pada 1979 manakala wanita warga asing hanya dibenarkan menonton pada bahagian tertentu stadium.

Jun lalu, FIFA menulis surat kepada Persekutuan Bolasepak Iran meminta mereka menyatakan tempoh sesuai untuk membenarkan penyokong wanita membeli tiket memsuki stadium atau berdepan tindakan.

"Wanita Iran boleh memasuki Stadium Azadi di Tehran untuk menyaksikan perlawanan pasukan lelaki kebangsaan melawan Kemboja di pusingan Kelayakan Piala Dunia Qatar,” lapor IRNA memetik kenyataan Timbalan Menteri Sukannya, Jamshid Taghizadeh.

Dalam pada itu, Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) yang dianggotai 47 ahli gabungan termasuk Iran mengesahkan bahawa mereka sedang membantu FIFA mencapai satu ‘penyelesaian tuntas’ bagi membolehkan wanita Iran memasuki stadium pada perlawanan akan datang.

"Tiada undang-undang yang menyekat wanita menonton perlawanan bola sepak lelaki di stadium, infrastruktur untuk kemudahan kaum wanita sedang disiapkan,” kata Taghizadeh.

Selama ini, terdapat gerakan dilakukan penyokong bola sepak wanita di negara itu yang melancarkan kempen meminta kerajaan membenarkan kaum Hawa menjadi penonton perlawanan bola sepak lelaki meskipun hanya sedikit kelonggaran diberikan pihak berkuasa stadium.

Jun lalu, pihak keselamatan Iran menahan beberapa penyokong wanita daripada memasuki Stadium Azadi untuk menonton perlawanan persahabatan Iran melawan Syria.

Tahun lalu, terdapat penyokong wanita yang memberanikan diri dengan memakai misai palsu dan mengenakan pakaian tebal untuk mengelirukan pasukan keselamatan semata-mata mahu menonton perlawanan bola sepak lelaki di stadium.

Gambar dan rakaman video penyokong wanita itu kemudian tular di media sosial.

Pusingan akhir Piala Dunia 2022 akan berlangsung di Qatar. – Reuters

Berita Harian X