LIVERPOOL: Liverpool memulakan musim baru Liga Perdana Inggeris dengan garang apabila membelasah Norwich City 4-1 di Anfield pagi tadi.
Liverpool, berada di depan seawal minit ketujuh apabila kapten Norwich, Grant Hanley, menjaringkan gol sendiri selepas gagal mengeluarkan bola cubaan Divock Origi.
Mo Salah menggandakan jaringan pada minit ke-19 dengan rembatan kaki kirinya selepas menerima umpanan Roberto Firmino dan Norwich tampak gagal melawan apabila gol ketiga menyusul pada minit ke-28 menerusi jaringan Virgil van Dijk hasil sepakan sudut Salah.
Liverpool berdepan detik cemas apabila penjaga gol Brazilnya, Alisson Becker, terpaksa diusung keluar padang pada minit ke-39 akibat kecederaan betis dan digantikan dengan penjaga gol Sepanyol yang baru dibeli, Adrian yang beraksi buat kali pertama di Anfield.
Origi menambah gol keempat seminit sebelum rehat menerusi tandukan padu ke bucu kanan gawang lawan hasil hantaran lintang Trent Alexander-Arnold.
Norwich bagaimanapun mendapat gol sagu hati menerusi cubaan bijak pemain Finland, Teemu Pukki, pada minit ke-64 hasil hantaran tepat Emiliano Buendia yang mengelirukan pertahanan lawan. – Reuters