X
Sabtu, 3 Ogos 2019 | 11:10pm
PEMAIN Selangor, Sandro Da Silva Mendonca (tengah) diasak oleh pemain Felda United, Ahmad Tasnim Fitri Mohd Nasir (kanan) pada perlawanan pertama bagi saingan Piala Malaysia 2019 di Stadium Shah Alam. - Foto BERNAMA
PEMAIN Selangor, Sandro Da Silva Mendonca (tengah) diasak oleh pemain Felda United, Ahmad Tasnim Fitri Mohd Nasir (kanan) pada perlawanan pertama bagi saingan Piala Malaysia 2019 di Stadium Shah Alam. - Foto BERNAMA

FELDA United ikat Selangor

SHAH ALAM: FELDA United membuktikan betapa julukan 'The Fighters' sememangnya tepat buat mereka apabila bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk mengikat Selangor 2-2 pada aksi pertama Kumpulan D di Stadium Shah Alam, sebentar tadi.

Ia menyaksikan The Red Giants membuka kempen memburu gelaran ke-34 Piala Malaysia dengan nada kurang memberangsangkan apabila terpaksa akur dengan kebangkitan ditunjukkan anak buah Nidzam Jamil itu.

Lebih memeritkan buat anak buah B Sathianathan, mereka dibolosi dua gol di penghujung setiap babak permainan namun mereka seharusnya menyalahkan diri sendiri apabila mensia-siakan banyak peluang khususnya di separuh masa kedua.

Pada aksi terbabit, beberapa peluang terbaik dimiliki FELDA bermula pada minit ke-13 apabila percubaan Daniel Amier Norhisham ditepis Khairul Azhan Khalid dan situasi itu membolehkan mereka melancarkan serangan balas pantas namun gagal disempurnakan.

Khairul Azhan sekali lagi cemerlang apabila menyelamatkan dua percubaan berturut-turut dilakukan Ahmad Tasnim Fitri Mohd Nasir dan S Chanturu pada minit ke-18 sebelum dia sekali lagi menepis keluar percubaan Chanturu pada minit ke-28.

Meskipun tampak tertekan namun peluang pertama diperoleh Selangor dimanfaatkan sebaiknya apabila permainan satu dua antara Sandro da Silva dan Syazwan Zainon membolehkan Syazwan melepasi pertahanan FELDA United dan melakukan penyudah kemas untuk gol pertama pada minit ke-32.

Tujuh minit berselang, Selangor sekali lagi memberikan tamparan kepada pelawat apabila meledak gol kedua selepas hantaran Syazwan disempurnakan Ifedayo Olusegun yang berjaya menewaskan Norazlan Razali buat kali kedua.

Bagaimanapun, FELDA United memastikan mereka tidak ketinggalan jauh apabila tampanan Christie Jayaseelan membolehkan mereka mengurangkan defisit hanya seminit selepas Selangor memperoleh gol kedua.

Bersambung babak kedua, FELDA United kehilangan rentak sekali gus membolehkan Selangor menguasai sebahagian besar permainan namun peluang untuk terus melebarkan jurang tidak diambil sepenuhnya tuan rumah.

Selangor beroleh satu lagi peluang untuk menambah gol pada minit ke-74 menerusi satu gerakan di bahagian sayap kiri apabila Fandi Othman melakukan hantaran lintang kepada Ifedayo tetapi tandukan penyerang import itu tepat ke dakapan Norazlan.

Terjahan dilakukan Fandi ke atas Jasazrin Jamaludin pada minit ke-83 menyaksikan pengadil, Mohd Nazmi Nasaruddin menghadiahkan sepakan penalti buat FELDA United dan ia tidak disia siakan oleh Khairul Amri Mohd Kamal untuk mengikat kedudukan 2-2.

 

 

Berita Harian X