Jumaat, 2 Ogos 2019 | 8:17pm
PEMAIN PSG, Neymar (kiri) bersama Mbappe.

'Neymar, jangan tinggalkan PSG'

LONDON: Bintang Paris Saint-Germain (PSG) Kylian Mbappe memujuk rakan sepasukannya, Neymar supaya kekal di kelab Perancis itu dan menjulang gelaran bersamanya di Parc des Princes.

Masa depan penyerang Brazil, Neymar di PSG dipalit spekulasi apabila dia gagal untuk pulang ke kelab itu bagi latihan pra-musim pada masa yang ditentukan dan kuat dikaitkan dengan perpindahan ke Barcelona dan Real Madrid.

Neymar menyertai latihan PSG, semalam menjelang perlawanan Trofi Juara-Juara melawan Rennes, esok dan sekali pun dia tidak akan beraksi susulan penggantungan, Mbappe mendedahkan harapannya terhadap pemain termahal dunia itu.

“Saya mahu dia kekal dan saya memberitahunya apa yang saya fikirkan mengenai situasi itu. Ia jelas untuk saya,” kata Mbappe menjelang pertemuan di Shenzhen, China itu. “Dia adalah pemain yang penting di sini dan saya mahu dia kekal.”

Mengulas lanjut mengenai latihan bersama pemain 28 tahun itu, Mbappe berkata ia berjalan seperti biasa.

“Neymar sentiasa menjadi dirinya, penuh dengan kualiti dan dia menunjukkannya,” kata pemenang Piala Dunia 2018 itu.

Jurulatih PSG, Thomas Tuchel menyuarakan pandangan sama.

“Apabila Neymar berlatih, dia cemerlang, prestasinya cemerlang. Dia memiliki banyak kualiti, seperti kebiasaan. Segala-galanya hebat semalam. Neymar mempunyai semangat yang hebat. Sesuatu yang malang kerana dia digantung kerana pasti hebat jika kami memilikinya.” - Agensi

Berita Harian X