Rabu, 31 Julai 2019 | 11:44pm
KETUA Jurulatih Bawah 18 Tahun (B-18) negara, Brad Maloney. - Foto Zulfadhli Zulkifli

Maloney 'pening kepala'

KUALA LUMPUR: Ketua Jurulatih Bawah 18 Tahun (B-18) negara, Brad Maloney mengakui masih perlu menilai secara terperinci sebelum membuat pilihan senarai 23 pemain terbaik yang akan membawa cabaran negara ke Kejuaraan B-18 AFF 2019 di Vietnam, 5 hingga 19 Ogos ini.

Perkembangan itu jelas memeningkan pengendali itu untuk membuat pilihan akhir yang dijangka diumumkan, esok.

"Sejak latihan pada hari pertama, saya dapat lihat ada peningkatan yang ditunjukkan pemain dan semuanya nampak positif. 

"Walaupun ada beberapa aspek sudah meningkat, saya merasakan kami perlu terus bekerja keras untuk memperbaiki segala kelemahan.

"Sudah pasti saya nampak potensi dalam pasukan ini. Pemain cukup berbakat dan memiliki teknik yang bagus namun mereka perlu tingkatkan lagi daripada aspek taktikal," katanya ketika ditemui di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia semalam.

Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama tuan rumah, Vietnam, Singapura, Kemboja, Thailand dan Australia.

Ujian pertama adalah bertemu Vietnam pada 7 Ogos ini diikuti aksi dengan Singapura (9 Ogos), Kemboja (11 Ogos), Australia (13 Ogos) dan Thailand pada 15 Ogos.

"Sukar untuk katakan apa perbezaan skuad kali ini dan sebelumnya. Saya yakin dengan skuad ini dan saya harap mereka boleh tampil sebagai pasukan yang kompetitif," katanya.

Berita Harian X