Rabu, 31 Julai 2019 | 11:13pm
SETIAUSAHA Agung FAM, Stuart Ramalingam. - Foto Danial Saad
SETIAUSAHA Agung FAM, Stuart Ramalingam. - Foto Danial Saad

Jordan ganti UAE

KUALA LUMPUR: Harimau Malaya akan melayan kunjungan Jordan pada aksi persahabatan yang dijangka berlangsung di ibu negara pada 30 Ogos ini.

Skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu sepatutnya menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam aksi persahabatan, tetapi ia terpaksa dibatalkan susulan kedua-dua pasukan diundi dalam kumpulan sama pada kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Sebagai ganti, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mendapatkan Jordan untuk dijadikan sebagai pemain pemanas badan sebelum Harimau Malaya membuka tirai kempen kelayakan berdepan Indonesia di gelanggang lawan, 5 September ini. 

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam menjelaskan badan induk itu berusaha untuk mendapatkan aksi persahabatan dalam memastikan Cheng Hoe dapat membentuk skuad terbaik bagi kempen kelayakan nanti.

"Secara umumnya FAM dan Persatuan Bolasepak Jordan sudah bersetuju untuk mengadakan aksi persahabatan itu di Kuala Lumpur pada 30 Ogos ini," katanya kepada BH Sukan, semalam.

Pengumuman yang dibuat Stuart itu sudah pasti menggembirakan Cheng Hoe yang sebelum ini sangat mengharapkan sekurang-kurangnya satu aksi persahabatan dapat diatur oleh FAM sebelum menentang Indonesia.

Selain UAE dan Indonesia, Harimau Malaya turut diundi bersama dua lagi jaguh Asia Tenggara, Vietnam dan Thailand dalam Kumpulan G untuk kempen kelayakan kali ini.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X