Khamis, 18 Julai 2019 | 5:28pm
PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Wan Abdul Rahim Wan Abdullah (dua kiri) bertukar dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Pengarah Eksekutif MQ Technology Bhd, Tong Sian Shyen (dua kanan) di Majlis Menandatangani MoU antara KAFA dengan MQ Technology Berhad di Kota Bharu. - Foto Syamsi Suhaimi
PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Wan Abdul Rahim Wan Abdullah (dua kiri) bertukar dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Pengarah Eksekutif MQ Technology Bhd, Tong Sian Shyen (dua kanan) di Majlis Menandatangani MoU antara KAFA dengan MQ Technology Berhad di Kota Bharu. - Foto Syamsi Suhaimi

KAFA, MQ Technology Bhd jalin kerjasama

KOTA BHARU: Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) menandatangani perjanjian persefahaman dengan MQ Technology Bhd bagi menubuhkan The Red Warriors Sdn Bhd (TRW SB), syarikat yang dipertanggungjawabkan untuk mengurus pasukan Kelantan pada musim depan.

Mengumumkan perkembangan itu di sini, Timbalan Presiden KAFA, Datuk Seri Afandi Hamzah berkata menerusi perjanjian berkenaan syarikat terbabit turut menyuntik sebanyak RM3 juta kepada TRW SB sebagai modal permulaan.

"Menerusi MOU ini, KAFA memegang sebanyak 30 peratus saham dalam TRW Sdn Bhd, manakala 70 peratus lagi oleh MQ Technology Bhd," katanya pada sidang media selepas MOU berkenaan di sini, hari ini.

Majlis menandatangani MOU itu disempurnakan oleh Presiden KAFA, Wan Rahim Wan Abdullah dan Pengarah Eksekutif MQ Technology Bhd, Tong Sian Shyen sambil disaksikan oleh kepimpinan exco KAFA.

Mengulas lanjut, Afandi berkata sempena perjanjian berkenaan MQ Technology Bhd juga bersetuju menyumbang sebanyak RM200,000 kepada KAFA yang akan digunakan untuk membayar gaji pemain.

Katanya, sumbangan yang diterima itu akan diagihkan sepenuhnya kepada pemain sebelum perlawanan sebagai penyuntik semangat untuk menentang UKM FC dalam saingan Liga Perdana esok.

Beliau juga mengesahkan pihaknya turut memberikan perhatian terhadap kes mahkamah yang dibawa oleh bekas pemain dan pengawai pasukan Kelantan.

"Kami tidak lari daripada tanggungjawab itu. Kami akan menyelesaikannya bagi mengelakkan pelbagai masalah lain, yang bakal dihadapi. Begitu juga jawatankuasa penajaan kami, sentiasa bekerja keras untuk mencari tajaan bagi memperkukuhkan kewangan bagi saingan musim depan," katanya.

Berita Harian X