Selasa, 16 Julai 2019 | 12:56am
Bintang Wales, Aaron Ramsey.
Bintang Wales, Aaron Ramsey.

Ramsey idam ikut jejak legenda Juve

ROME: Bintang Wales, Aaron Ramsey berkata dia mahu mengikuti jejak legenda Juventus dan negaranya, John Charles selepas melengkapkan perpindahannya ke juara Serie A itu, semalam.

Begitupun tugas bekas pemain Arsenal itu untuk menyamai kejayaan dicipta Charles, yang meninggal dunia pada 2004 di usia 72 tahun jelas bukan mudah berikutan kehebatan yang ditunjukkannya di Turin sepanjang lima tahun bersama kelab berkenaan di penghujung era 1950 dan 60-an.

Diberi gelaran 'The Gentle Giant', Charles meledak lebih 100 gol untuk Juve di mana gergasi Itali itu memenangi tiga gelaran liga, dua Piala Itali dan menjadi trio digeruni bersama Omar Sivori dan Giampiero Boniperti.

“Beliau legenda yang terkemuka di sini dan juga untuk bola sepak Wales,” kata Ramsey. “Beliau jelas seseorang yang boleh saya contohi dan berharap untuk mengikuti jejak langkahnya. 

“Beliau memanfaatkan segala peluang dan meninggalkan tanda di sini. Saya tahu betapa besarnya beliau terhadap kelab ini dan sejarah yang diciptanya di sini.”

Ramsey, 28, membuat penampilan pertama sebagai pemain Juve di Turin, semalam selepas melengkapkan perjanjian selama empat tahun.

Ramsey, yang memenangi tiga Piala FA sepanjang 11 tahun menyarung jersi Arsenal dan menjadi tonggak Wales mara ke separuh akhir Euro 2016 berkata peluang untuk menyertai juara Itali itu sebagai tidak boleh ditolak.

“Apabila saya tahu Juventus berminat, saya tidak boleh menolaknya. Ia kelab yang hebat, salah satu kelab terbesar di dunia, dan peluang untuk datang dan bermain di sini bagi mimpi jadi kenyataan.” - AFP

 

 

Berita Harian X