Rabu, 10 Julai 2019 | 7:24am
NASRI menyertai pasukan RSC Anderlecht. - Foto twitter RSC Anderlecht
NASRI menyertai pasukan RSC Anderlecht. - Foto twitter RSC Anderlecht

Nasri sertai Kompany

BRUSSELS, Belgium: Bekas pemain tengah Perancis, Samir Nasri berkata keputusan menyertai bekas rakan sepasukannya di Manchester City, Vincent Kompany bersama Anderlecht adalah untuk ‘menjadi contoh kepada generasi muda.’

Pemain berusia 32 tahun itu tidak dimiliki oleh mana-mana kelab selepas kontrak singkatnya bersama West Ham berakhir.

Dia menyertai kelab dari London itu pada Januari lalu selepas mengharungi penggantungan selama 18 bulan susulan doping dan membuat enam penampilan dan kali terakhir diletakkan di bangku simpanan menentang Huddersfield pada Mac.

Kompany, 33, pulang ke kelab pertama dalam kariernya sebagai jurulatih dan pemain. Dia meninggalkan kelab berkenaan pada 2006 untuk beraksi di Jerman sebelum menghabiskan lebih sedekad di Liga Perdana.

Selain City dan West Ham, Nasri juga pernah beraksi bersama Arsenal dan Sevilla serta membuat 41 penampilan bersama skuad kebangsaan Perancis.

Dia digantung tiga perlawanan oleh Persekutuan Bolasepak Perancis selepas menghina wartawan berikutan penyingkiran Perancis oleh Sepanyol di Euro 2012 dan menggantung butnya dari pentas antarabangsa dua tahun kemudian.

KOMPANY ketika jalani latihan bersama pasukan RSC Anderlecht. - Foto twitter RSC Anderlecht
KOMPANY ketika jalani latihan bersama pasukan RSC Anderlecht. - Foto twitter RSC Anderlecht

“Saya membuat kesilapan. Saya mempunyai karakter yang hebat, mungkin itulah sebabnya kamu banyak melihat perkara yang buruk di internet,” kata Nasri. “Wang bukan motivasi, ia adalah projek sukan, dan lebih-lebih lagi saya dapat bekerja bersama rakan.”

Nasri menandatangani perjanjian selama setahun dengan pilihan musim kedua dan mengakui berhasrat mengikuti jejak Kompany ke arena pengurusan.

Nasri berkata selepas menjadi bapa pada tahun lalu, dia berubah menjadi ‘lebih matang’ dan menyebabkannya mahu berkongsi pengalamannya kepada orang lain. 

“Saya mahu memberi kembali apa yang sudah saya belajar,” katanya. “Saya mahu kekal di Eropah dengan projek yang saya rasa menarik dan berbeza.”

Anderlecht yang juga pemenang rekod kejuaraan terbanyak Belgium dengan 34 gelaran menamatkan saingan liga musim lalu di tangga keenam dan terlepas aksi di peringkat Eropah buat pertama kali dalam tempoh 55 tahun. - AFP

Berita Harian X