Ahad, 7 Julai 2019 | 2:08pm
Pengendali Argentina, Lionel Scaloni. - Foto AFP
Pengendali Argentina, Lionel Scaloni. - Foto AFP

Scaloni bingung tindakan pengadil

SAO PAULO, Brazil: Pengendali Argentina, Lionel Scaloni mengakui sukar untuk memahami tindakan pengadil melayangkan kad merah terhadap tonggaknya, Lionel Messi ketika perlawanan penentuan tempat ketiga/keempat Copa America, awal pagi tadi.

Selain itu, Scalono turut mempersoalkan mengapa teknologi Video Bantuan Pengadil (VAR) tidak digunakan dalam dua perlawanan penting membabitkan skuad kendaliannya.

Kapten Argentina, Messi hanya berada di atas padang selama 36 minit selepas diarahkan keluar padang susulan kontroversi yang dicetuskan bersama kapten Chile, Gary Medel.

Sekali pun Messi terlebih dulu menolak Medel, tindak balas pertahanan Chile itu tampak lebih agresif apabila menolak bintang Barcelona itu menggunakan badannya dengan Messi bertahan sambil mendepakan tangan.

Dan sekali pun pemain kedua-dua pasukan melakukan protes, pengadil dari Paraguay Mario Diaz de Vivar tetap dengan keputusannya yang menyaksikan Argentina menang 2-1 hasil jaringan Sergio Aguero dan Paulo Dybala.

Selepas perlawanan, Messi enggan kembali ke Arena Corinthians untuk menerima medal sebelum mengeluarkan komen panas dengan menuduh Copa Amerika dipalit ‘rasuah’ serta mendakwa edisi kali ini ‘diaturkan untuk Brazil menang.’

Meskipun tidak selantang kaptennya, Scaloni turut menghambur kritikan pedas terutama terhadap kualiti pengadilan termasuk ketika pasukannya tewas kepada tuan rumah di separuh akhir.

“Saya masih tidak faham apa yang Messi lakukan yang menyebabkan dia diarahkan keluar padang,” kata Scaloni. “Saya rasa kami patut bermain di final ketika ini, tetapi kami mendapat hadiah saguhati dengan memenangi penentuan tempat ketiga, perlawanan yang kami terpaksa harungi.

“Kami percaya apabila salah seorang daripada kami disakiti, kami juga turut merasainya. Kamu tidak boleh mendiamkan diri apabila rakan sepasukan kamu dilayan dengan buruk. Kami melihatnya berlaku kepada Leo dan juga pemain lain. Kami membina pasukan ini menerusi perpaduan kami.

“Sensasi perlawanan hari ini lebih ganjil berbanding hari sebelumnya. Saya masih belum memahami kriteria penggunaan VAR di Copa. Sama ada kriteria itu salah, atau (pengadil) tidak bersetuju dengan apa-apapun. Saya fikir mereka masih belum pasti mengenai sistem ini.” - AGENSI

Berita Harian X