Ahad, 7 Julai 2019 | 12:47pm
PEMAIN Argentina, Lionel Messi. - Foto AFP
PEMAIN Argentina, Lionel Messi. - Foto AFP

Messi tuduh Copa America 'rasuah'

SAO PAULO, Brazil: Bintang Argentina Lionel Messi mendakwa Copa America dipalit ‘rasuah’ serta mutu pengadilan rendah selepas dia diarah keluar padang ketika La Albiceleste mengesahkan tempat ketiga hasil kemenangan 2-1 terhadap Chile, awal pagi tadi. 

Messi dan pemain Chile, Gary Mendel kedua-duanya dilayangkan kad merah oleh pengadil dari Paraguay Mario Diaz de Vivar, lapan minit sebelum babak pertama berakhir selepas berkelahi di tepi gawang gol.

Begitupun, rakaman televisyen mendapati kesalahan yang kedua-dua kapten pasukan itu lakukan tidak sepatutnya menerima hukuman keras berkenaan.

“Rasuah dan pengadil menghalang orang daripada menikmati bola sepak dan mereka sedikit sebanyak merosakkannya,” kata Messi yang juga penyerang sensasi kelab gergasi Sepanyol, Barcelona.

Messi sebelum ini menyuarakan amarahnya berikutan kekalahan 0-2 Argentina kepada Brazil di separuh akhir dengan mendakwa tuan rumah mendapat layanan istimewa daripada badan induk bola sepak Amerika Selatan, CONMEBOL.

“Medel sentiasa melampau had, tetapi ia bukannya kesalahan kad merah untuk kami berdua. Dia (pengadil) perlu berbincang dengan VAR,” katanya.

Video Bantuan Pengadil (VAR) sebelum ini menjadi isu ketika kekalahan Argentina terhadap Brazil apabila pengadil perlawanan, Roddy Zambrano tidak mahu menggunakan teknologi berkenaan terhadap dua insiden di kawasan penalti.

“Brazil adalah tuan rumah dan mereka banyak terbabit dalam CONMEBOL ketika ini, yang menjadikan situasi lebih rumit untuk semua orang,” kata Messi yang turut mengkritik kualiti pengadilan.

“Saya fikir penyingkiran ini adalah disebabkan oleh apa yang saya katakan. Kata-kata saya memang memberi kesan, tetapi kamu sepatutnya sentiasa jujur. 

“Sebelum perlawanan dia (pengadil) berkata dia mahu berbincang dan berharap kami mengharungi perlawanan yang tenang tetapi selepas insiden pertama, dia mengarahkan saya keluar.

“Saya tidak ragu yang Brazil akan menjadi juara. Copa lebih memihak Brazil dan harapnya VAR dan pengadil tidak akan menjadi isu di final dan Peru boleh memberi saingan. Mereka mempunyai pasukan untuk bersaing, yang saya lihat sukar untuk diatasi,” kata Messi. - AFP

Berita Harian X