Ahad, 7 Julai 2019 | 8:18am
INSIDEN kad merah yang membabitkan pemain Argentina, Lionel Messi (kiri) dan pemain Peru, Gary Medel di Stadium Sao Paulo. - Foto AFP
INSIDEN kad merah yang membabitkan pemain Argentina, Lionel Messi (kiri) dan pemain Peru, Gary Medel di Stadium Sao Paulo. - Foto AFP

Argentina ketiga Copa, Messi dilayang kad merah

SAO PAULO: Lionel Messi diarah keluar padang ketika Argentina mengesahkan kedudukan ketiga Copa America dengan menewaskan Chile 2-1, awal pagi tadi.

Pada aksi penuh tegang itu, pemenang lima kali Ballon d'Or, Messi dan kapten Chile, Gary Medel dilayangkan kad merah lapan minit sebelum separuh masa pertama berakhir selepas bertelagah di tepi gawang.

Gol kemenangan Argentina dijaringkan Sergio Aguero dan Paulo Dybala pada babak pertama tetapi perlawanan berkenaan akan diingati menerusi layangan kad merah berkenaan yang mencetus situasi kelam kabut di atas padang.

PEMAIN Argentina, Paulo Dybala meraikan jaringan kedua pasukan ketika menewaskan Chile 2-1. - Foto REUTERS
PEMAIN Argentina, Paulo Dybala meraikan jaringan kedua pasukan ketika menewaskan Chile 2-1. - Foto REUTERS

Ketika cuba memenangi bola di dalam kawasan penalti Chile, Messi yang kecewa menolak Mendel dan pertahanan tengah itu membalasnya dengan melanggar bintang Barcelona itu.

Insiden berkenaan mungkin dilihat sebagai kesalahan kad kuning tetapi pengadil dari Paraguay, Mario Diaz de Vivar mencipta kejutan dengan melayangkan kad merah kepada kedua-dua kapten berkenaan.

Medel jelas berang dengan keputusan berkenaan yang menyaksikan pemain kedua-dua pasukan berkumpul untuk membuat bantahan.

Diaz de Vivar jelas gagal mengawal situasi dan ia mengambil tempoh lima minit untuk menenangkan kembali situasi dan membawa Messi dan Medel keluar daripada padang.

Ketika itu, Chile sudah pun ketinggalan 2-0 tampak hilang sabar sebelum terselamat daripada dilayangkan satu lagi kad merah apabila pemainnya Erick Pulgar memijak kaki Leandro Paredes, kesalahan yang dilihat jauh lebih berat daripada yang dibuat Messi atau Medel.

Argentina membuka tirai jaringan pada minit ke-12 menerusi umpanan Messi sebelum Dybala menggandakan kelebihan 10 minit kemudian dengan Chile kehilangan pemain berpengaruh, Alexis Sanchez akibat kecederaan hamstring.

Chile merapatkan jurang apabila Giovani Lo Celso didapati menjatuhkan Charles Aranguiz di dalam kotak penalti dengan Arturo Vidal tidak bermasalah untuk menyempurnakannya pada minit ke-59. - AFP

Berita Harian X