Sabtu, 6 Julai 2019 | 12:18pm
PENGENDALI skuad Argentina, Lionel Scaloni. - Foto REUTERS
PENGENDALI skuad Argentina, Lionel Scaloni. - Foto REUTERS

Scaloni berdepan ujian berat sekali lagi

SAO PAULO, Brazil: Pengendali skuad Argentina, Lionel Scaloni mengakui dia sudah melepasi ujian kepimpinan menjelang perrtembungan berdepan Chile dalam penentuan tempat ketiga di Copa America, di sini, pagi esok.

Argentina yang sebelum ini berdepan masalah pemecatan jurulatih skuad kebangsaan beberapa tahun kebelakangan ini, kali ini mengharapkan sentuhan Scaloni benar-benar menjadi bukti bahawa dia adalah pilihan tepat menggalas tugas berkenaan.

Dia dilantik sebagai jurulatih skuad kebangsaan tahun lalu menggantikan Jorge Sampaoli selepas jurulatih itu gagal membantu kempen Argentina di Piala Dunia 2018 di Russia.

Bagaimanapun, ketika di saingan Copa kali ini, Argentina terlepas peluang menamatkan badi apabila tewas 0-2 di tangan Brazil di separuh akhir sekali gus timbul persoalan mengenai keberkesanan kepimpinan Scaloni.

Namun pada sidang media pra perlawanan pagi tadi, Scaloni berkata: "Saya tidak rasakan kesukaran berbanding tempoh cubaan saya. Saya rasa saya sudah lulus ujian. Membawa semua pemain hingga ke peringkat ini adalah ujian ke atas saya, dan saya sudah berjaya lakukan. Apa yang kami diarahkan buat, sudah dilaksanakan.”

Scaloni juga yakin sudah memilih barisan pemain terbaik untuk skuad Argentina.

"Pemain yang ada ini akan mengisi pasukan kebangsaan masa depan, tak kira siapa pun jurulatihnya.”

Kontrak Scaloni akan berakhir hujung tahun ini dan kejayaan esok di Corinthians Arena di Sao Paulo mungkin menjanjikan prospek jangka masa panjang untuknya kekal lebih lama.

"Perlawanan menentang Chile sangat penting, kami mahu menamatkan saingan dengan cara terbaik yang mungkin. Semua pihak kian teruja," kata Scaloni. – Agensi

Berita Harian X