Jumaat, 28 Jun 2019 | 10:05am
Jurulatih Argentina, Lionel Scaloni (kiri) bersama Lautaro Martinez pada sidang akhbar di rio de Janeiro, Brazil. - Foto REUTERS
Jurulatih Argentina, Lionel Scaloni (kiri) bersama Lautaro Martinez pada sidang akhbar di rio de Janeiro, Brazil. - Foto REUTERS

Argentina kian positif

RIO DE JANEIRO: Jurulatih Argentina, Lionel Scaloni berkata skuad kendaliannya diselubungi aura positif menjelang pertembungan suku akhir Copa America melawan Venezuela, awal pagi esok.

Argentina dipalit kekalutan apabila membuka kempen dengan kekalahan 0-2 kepada Colombia dan seri 1-1 melawan Paraguay sekali gus meletakkan juara 14 kali itu di ambang penyingkiran awal memalukan.

Tetapi, peningkatan prestasi yang ditonjolkan ketika menang 2-0 ke atas pasukan pelawat, Qatar pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan yang membawa mereka ke peringkat kalah mati melonjakkan kembali keyakinan.

“Ia meningkatkan keyakinan. Kami yakin yang kami boleh meneruskannya dan ada aura yang positif,” kata Scaloni yang sedar dengan kemampuan skuad ‘kerdil’ seperti Venezuela, pasukan yang menewaskan mereka 3-1 pada aksi persahabatan di Madrid Mac lalu.

Tidak seperti Argentina, Venezuela belum pernah tewas pada kempen kali ini termasuk seri 0-0 menentang tuan rumah di peringkat kumpulan.

Argentina dalam pada itu tidak pernah menang dalam tiga perlawanan terakhir menentang pasukan sama, yang menjadi salah satu daripada dua pasukan di Copa America kali ini yang belum pernah memenanginya selain Ecuador.

Begitupun, Scaloni menegaskan aksi persahabatan pada Mac lalu yang turut tidak menampilkan bintang sensasi Lionel Messi tidak boleh dijadikan kayu pengukur perlawanan kali ini.

“Ia perlawanan yang berbeza, kami bermain dengan tiga pertahanan tengah, barisan yang berbeza bukan saja dari sudut pemain tetapi formasi,” katanya.

“Tidak mudah untuk menentang mereka. Kamu fikir kamu mendominasi perlawanan tetapi dalam beberapa saat mereka akan menyerang dengan pantas.” 

Sekali pun dikuatkan dengan pemenang lima kali Ballon d'Or, Messi, kali terakhir Argentina memenangi gelaran utama ialah di Copa America pada 1993. - AFP

Berita Harian X