Khamis, 20 Jun 2019 | 10:28am

RM3 juta 'cuci' KAFA

 

KUALA LUMPUR: Sekurang-kurangnya RM3 juta! 

Itu anggaran 'wang pendahuluan' mungkin perlu disediakan mana-mana yang individu berminat menjadi Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA).

Jumlah itu merangkumi tunggakan gaji pemain dan hutang lain seperti bayaran stadium patut diselesaikan oleh presiden baharu bagi proses 'penyucian' KAFA.

Nilai anggaran itu mungkin nampak tinggi, tapi jika melihat kepada tunggakan gaji bekas kapten mereka, Mohd Badhri Radzi dan bekas pengarah teknikal Alfredo Gonzales saja dikatakan sudah melebihi RM500,000.

Ia tidak termasuk jumlah hutang terhadap pemain serta tunggakan semasa bagi semua pasukan termasuk skuad Liga Perdana, Piala Presiden dan Piala Belia.

Bekas Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan yang mengumumkan peletakan jawatannya kelmarin pernah memaklumkan bahawa persatuan itu turut berdepan bebanan tunggakan bayaran stadium RM170,000.

Malah, bekas Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Kamarudin Abdullah menjelaskan, mahu atau tidak KAFA perlu menyelesaikan segala hutang berkenaan untuk mengelak masalah lebih besar pada masa depan.

"Nak masuk gelanggang bola sepak memang kena ada wang. Bukan saja untuk bayar hutang, tapi juga bagi masa depan termasuk gaji pemain dan perbelanjaan lain.

"Jadi KAFA perlu pilih individu yang benar-benar layak dan berkemampuan dari aspek kewangan untuk diangkat sebagai presiden. Jika tidak, masalah dalam persatuan tak akan pulih.

"Calon presiden itu juga perlu kaji dengan rapi mengenai semua aspek dalaman KAFA terutama masalah membabitkan kewangan. Tanpa kewangan yang kukuh, mana-mana pasukan pun boleh lingkup.

"Ambil contoh Bibi, sudah berjuta-juta dia habiskan wang untuk KAFA tapi apa hasilnya sekarang? Jadi individu yang mahu jadi presiden ini wajib pertimbangkan sebaiknya dulu," katanya kepada BH Sukan, semalam.

Bibi sebelum ini dilaporkan mendakwa sudah menghabiskan lebih kurang RM6 juta untuk menguruskan KAFA sejak dipilih sebagai presiden pada September 2017.

Berita Harian X