Ahad, 16 Jun 2019 | 10:18am
Pemain Colombia, Roger Martinez (kanan) meraikan jaringan golnya bersama rakan sepasukan ketika menentang Argentina pada perlawanan Copa America 2019, pagi tadi. - Foto REUTERS
Pemain Colombia, Roger Martinez (kanan) meraikan jaringan golnya bersama rakan sepasukan ketika menentang Argentina pada perlawanan Copa America 2019, pagi tadi. - Foto REUTERS

Gol Martinez, Zapata kejutkan Argentina

SALVADOR: Roger Martinez dan Duvan Zapata masing-masing meledak gol ketika Colombia memulakan kempen Copa America 2019 dengan kemenangan 2-0 terhadap Argentina, pagi tadi.

Selepas aksi separuh masa pertama terikat tanpa jaringan, Martinez meledak gol pembukaan pada minit ke-72 sebelum seorang lagi pemain gantian, Zapata mengesahkan kemenangan dengan menyumbat jaringan kedua, tiga minit sebelum permainan berakhir.

Kali terakhir Colombia menewaskan Argentina di pentas Copa America ialah 20 tahun lalu dengan kekalahan mencalarkan peluang Lionel Messi untuk menamatkan kemarau di kejohanan antarabangsa bersama skuad kebangsaan.

“Kami tahu ia sudah amat lama (kali terakhir menang ke atas Argentina). Saya gembira tetapi Copa belum berakhir,” kata Zapata. “Kami akan menikmati kemenangan ini.”

Penyerang Argentina, Lionel Messi (tengah) dikawal ketat dua pemain Colombia, Davinson Sanchez (kiri) dan CJefferson Lerma pada aksi perlawanan Copa Amerika 2019, awal pagi tadi. - Foto AFP
Penyerang Argentina, Lionel Messi (tengah) dikawal ketat dua pemain Colombia, Davinson Sanchez (kiri) dan CJefferson Lerma pada aksi perlawanan Copa Amerika 2019, awal pagi tadi. - Foto AFP

Pertembungan dalam Kumpulan B dianggap paling sukar pada Copa America kali ini apabila ia turut diisi Paraguay dan juara Asia, Qatar.

Argentina tidak memenangi kejohanan utama sejak 26 tahun lalu dan tewas pada dua aksi final kejohanan benua Amerika Selatan itu pada 2015 dan 2016 selain final Piala Dunia 2014.

“Pemain-pemain sedar perjalanan masih jauh dan kami masih mempunyai baki dua perlawanan,” kata jurulatih Argentina, Lionel Scaloni. “Apa yang utama ialah kekal di laluan yang betul dan memperbaiki kesilapan kami.”

Di atas kertas, pertembungan kedua-dua pasukan dijangka berlangsung menarik dengan barisan penyerang diisi pemain bertaraf bintang.

Selain pemenang lima kali Ballon d'Or, Messi, Argentina turut dikuatkan dengan penyerang Manchester City, Sergio Aguero dan Angel Di Maria manakala Colombia bergantung harap kepada James Rodriguez, Radamel Falcao dan Juan Cuadrado.

Tetapi akhirnya, dua pemain yang bermula di bangku simpanan lebih mencuri tumpuan. - AFP

Berita Harian X