Sabtu, 15 Jun 2019 | 7:46am
Pertahanan Argentina, Nicolas Tagliafico (kiri) menjalani latihan bersama rakan sepasukan, Lionel Messi di Stadium Manoel Barradas, Brazil menjelang Copa America 2019 menentang Colombia, esok. - Foto AFP
Pertahanan Argentina, Nicolas Tagliafico (kiri) menjalani latihan bersama rakan sepasukan, Lionel Messi di Stadium Manoel Barradas, Brazil menjelang Copa America 2019 menentang Colombia, esok. - Foto AFP

Argentina kagum semangat Messi

SALVADOR, Brazil: Pertahanan Argentina, Nicolas Tagliafico memuji Lionel Messi atas keinginan tinggi kaptennya itu untuk menjulang trofi bersama skuad kebangsaan yang kali terakhir dimenangi 26 tahun lalu.

Argentina dijadual membuka kempen Copa America 2019 menentang Colombia, esok.

Messi mengambil sedikit masa selepas mengharungi kempen mengecewakan di Piala Dunia 2018 dan kembali menyarung jersi kebangsaan awal tahun ini sebagai persediaan untuk Copa America - trofi terakhir dimenangi Argentina pada 1993.

Messi, 31, juga membuat pengumuman bersara selepas kekalahan di final Copa America 2016 kepada Chile, kekalahan keempat Argentina di final kejohanan utama selepas turut tumbang di pentas akhir pada edisi 2007 dan 2015 Copa America dan Piala Dunia 2014.

“Saya cukup bertuah untuk berada dalam pasukan yang sama dengan Messi dan keazamannya paling mengagumkan saya,” kata Tagliafico.

“Dia sentiasa mahu kembali beraksi dan terus mencuba, ia menakjubkan. Dia masih sama seperti dia di Piala Dunia, tenang dan memiliki keinginan yang sentiasa sama.”

Jurulatih Argentina, Lionel Scaloni bersetuju dengan pendapat Tagliafico mengenai Messi yang sudah memenangi semua kejohanan utama di peringkat kelab bersama gergasi Sepanyol, Barcelona.

“Saya mahu memberi penekanan mengenai semangatnya bermain bola sepak. Dia dilahirkan untuk bermain bola sepak, dia dilahirkan untuk menang,” kata Scaloni.

“Kami kagum dengan semangatnya dan kehadirannya di sini untuk berkongsi keazaman untuk menang membuatkan kami semua amat gembira,” katanya sambil mendedahkan barisan depannya akan dijana Messi, Angel di Maria dan penyerang Manchester City, Sergio Aguero. - REUTERS

 

 

Berita Harian X