Khamis, 30 Mei 2019 | 9:25pm
Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan. - Arkib NSTP
Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan. - Arkib NSTP

KAFA nafi gagal lunas gaji hampir 5 bulan

KOTA BHARU: Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani Ilias Khan menafikan dakwaan pihaknya gagal melunaskan gaji pasukan Kelantan bagi tempoh hampir lima bulan.

Beliau memberi alasan pihaknya berdepan masalah kerana beberapa dokumen seperti surat kontrak pemain tidak dipulangkan semula selepas mengambil alih semula pengurusan pasukan daripada KRW Sdn Bhd pada 5 April lalu, susulan penarikan diri My Inspiration Sdn Bhd.

"KAFA meminta dokumen kontrak pemain diserahkan semula namun My Inspiration Sdn Bhd gagal berbuat demikian. Malah KAFA juga bertindak melangsaikan gaji pemain bagi bulan Februari, Mac dan April dalam proses memohon bantuan dari Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM),” katanya ketika dihubungi hari ini berkenaan isu tunggakan gaji berkenaan.

"Pemain harus memahami situasi KAFA. Jangan mudah menuding jari kepada kami yang terus dibebani masalah selepas KRW menarik diri yang memberikan kesan buruk kepada pasukan Liga Perdana, Piala Presiden dan Piala Belia musim ini.

“Beri peluang kepada KAFA untuk memperbaiki beberapa kelemahan dalam proses peralihan pengurusan (baharu) bagi mengendalikan pasukan Kelantan,".

Mengulas lanjut membabitkan kes pemain import dari Brazil, Cassio De Jesus , Bibi Ramjani mengakui My Inspiration Sdn Bhd sudah membuat bayaran sebanyak RM48,000 kepada beliau pada Februari lalu.

"Pada awal Mac, Cassio mengalami kecederaan dan terpaksa berehat selama tiga minggu sehingga beliau sering memberi alasan untuk tidak beraksi walaupun doktor mengesahkan beliau cergas sepenuhnya.

"Dalam situasi ini, seolah-olah Cassio mengelak dari bermain dan macam ada sesuatu yang tidak kena membelenggu diri beliau. Oleh itu, saya meminta individu tertentu, usah mudah menuding jari dan menyalahkan KAFA sahaja sedangkan kami tidak berniat menganiayai pemain," katanya.

Berita Harian X