Rabu, 29 Mei 2019 | 6:04pm
KETUA Jurulatih Harimau Malaya Tan Cheng Hoe memberi taklimat kepada pemainnya pada sesi latihan persiapan perlawanan persahabatan menentang pasukan Nepal 2 Jun ini. NSTP/Mohd Yusni Ariffin
KETUA Jurulatih Harimau Malaya Tan Cheng Hoe memberi taklimat kepada pemainnya pada sesi latihan persiapan perlawanan persahabatan menentang pasukan Nepal 2 Jun ini. NSTP/Mohd Yusni Ariffin

Siapa bakal kapten Harimau Malaya?

KUALA LUMPUR: Siapa yang bakal menggantikan Zaquan Adha Abd Radzak sebagai kapten Harimau Malaya?

Persoalan itu timbul selepas jurulatih negara, Tan Cheng Hoe tidak menyenaraikan pemain Kedah itu untuk aksi persahabatan berdepan Nepal dan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Timor Leste.

Malah, Cheng Hoe juga masih belum memutuskan siapa bakal ditugaskan sebagai jeneral Harimau Malaya di atas padang.

"Dalam sehari dua nanti kami akan umumkan siapa akan menjadi kapten dalam pasukan tetapi bagi barisan jurulatih, kami lebih fokus kepada pasukan.

"Sudah pasti kapten cukup penting, kami perlukan pemain yang ada karakter terbaik dan sikap kepimpinan bagus dalam pasukan," kata Cheng Hoe.

Beberapa nama termasuk Shahrul Saad, Matthew Davies dan penjaga gol, Farizal Marlias antara calon berpotensi memakai lilitan kapten Harimau Malaya.

Harimau Malaya dijadualkan menentang Nepal di Stadium Nasional Bukit Jalil, Ahad ini sebelum Cheng Hoe memilih 23 daripada 25 pemain untuk berdepan Timor Leste di gelanggang sama pada 7 dan 11 Jun ini.

Cheng Hoe juga tampak lega selepas penyerang berpengalaman, Norshahrul Idlan Talaha dan pemain naturalisasi, Mohamadou Sumareh sudah melaporkan diri bersama pasukan semalam selepas memintas pelepasan pada hari pertama, kelmarin. 

Selain itu, Cheng Hoe menjelaskan beliau mungkin tidak akan memanggil pengganti Syahmi Safari yang terpaksa disisihkan kerana kecederaan buku lali.

"Ketika ini saya rasa pemain yang kami panggil sudah ada pengganti dia (Syahmi) dalam kalangan 25 pemain. Kami tahu ada dua, tiga pemain yang boleh bermain di posisi pertahanan kanan atau sayap kanan," katanya.

Berita Harian X