Selasa, 28 Mei 2019 | 11:51am
EDEN Hazard
EDEN Hazard

'Real tak bohong minat Hazard'

MADRID: Presiden Real Madrid, Florentino Perez mengesahkan gergasi Sepanyol itu berminat untuk mendapatkan Eden Hazard, musim panas ini.

Hazard mungkin mengharungi perlawanan terakhirnya bersama Chelsea di final Liga Europa menentang Arsenal di Baku, Azerbaijan, awal pagi Khamis ini dengan kontrak bintang Belgium itu bersama The Blues dijadual berakhir tahun depan.

“Saya amat berminat untuk membawa ke Madrid, saya tidak akan berbohong, dan saya berharap dia boleh bermain di sini tahun ini,” kata Perez kepada stesen radio Sepanyol, Onda Cero.

“Kami mahu menandatangani Hazard selama beberapa tahun dan berharap dia akan datang tahun ini. Sehingga kini, kami masih belum mencapainya, tetapi pada kali ini kontraknya akan berakhir tahun depan.”

Selepas mengharungi musim yang mengecewakan, Real dijangka akan membuat perubahan besar-besaran pada musim panas ini.

FLORENTINO Perez
FLORENTINO Perez

Ketika ditanya mengenai kemungkinan Real membeli sensasi muda Perancis, Kylian Mbappe atau Neymar dari Paris Saint-Germain (PSG), nada Perez sedikit berubah. 

“Saya tidak bercakap dengan Zinedine Zidane mengenai Mbappe atau Neymar,” kata Perez sambil menegaskan beliau mahu mengekalkan hubungan baik dengan PSG. “Jika kamu mahu pemain PSG, kami akan menghubungi presiden kelab.”

Mengulas mengenai masa depan Gareth Bale di Santiago Bernabeu, Perez berkata kelab itu masih menerima sebarang tawaran untuk mana-mana pemainnya dan mengkritik layanan sesetengah media dan peminat kelab terhadap pemain Wales itu.

“Kami sudah membuat sesuatu seperti memenangi Liga Juara-Juara sebagai normal bukan. Segelintir pemain-pemain ini dihina, menerima ejekan, pemain yang berada dalam sejarah kelab. Ia tidak betul,” katanya. - AFP

Berita Harian X