Sabtu, 25 Mei 2019 | 2:23pm
Ketua Jurulatih Selangor B. Sathianathan pada perlawanan pada aksi perlawanan Liga Super menentang Terengganu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah. - Foto Ghazali Kori
Ketua Jurulatih Selangor B. Sathianathan pada perlawanan pada aksi perlawanan Liga Super menentang Terengganu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah. - Foto Ghazali Kori

Bukan faktor padang tapi pemain - Sathianathan

KUALA TERENGGANU: Pengendali Selangor, B Sathianathan mengakui faktor padang bukan menjadi punca pasukannya tunduk 0-1 kepada Terengganu FC (TFC) pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam tadi.

Sebaliknya bekas pengendali kebangsaan itu yang sebelum ini mendakwa mutu padang stadium berkenaan adalah antara yang kurang sempurna di negara ini, menyalahkan anak buahnya yang gagal beraksi dengan baik selain kerap hilang bola sepanjang 90 minit perlawanan.

"Tahniah kepada TFC kerana mereka beraksi dengan baik dan sememangnya skuad itu layak untuk menang, kemenangan itu bukan kerana nasib tetapi mereka berhak menang dengan lebih banyak mencipta peluang berbanding kita walaupun pemain kita tertampan bola ke gol sendiri.

"Jika kita lihat pemain TFC sanggup berlari tetapi kita jalan kaki main bola, saya nampak hantaran kita yang melumpuhkan pertahanan kerana asyik hilang bola sedangkan TFC tidak hilang bola.

“Malah, 20 minit terakhir kita keletihan kerana tidak boleh kawal bola.

"Saya tak boleh bagi bagi alasan kekalahan disebabkan padang biarpun ada sedikit air disebabkan hujan sebaliknya kita perlu menyalahkan diri sendiri kerana tidak bermain dengan baik," ujar Sathianathan.

Pada perlawanan itu, jaringan sendiri kapten, K Sarkunan pada minit ke-90 selepas tertampan bola ke mulut gol pasukannya meranapkan impian skuad Red Giants itu untuk mengutip sekurang-kurangnya satu mata selepas tumpas 0-1.

Mengulas lanjut, Sathianathan yang dilihat berang dengan prestasi anak buahnya mendedahkan pemainnya tidak menerapkan aksi berpasukan selain gagal menunjukkan belang sebenar.

"Kita tidak boleh harapkan Ifedayo Olusegun seorang saja, pemain lain juga harus berani masuk ke dalam kotak penalti untuk menjaringkan gol tetapi saya lihat itu tidak berlaku malah pemain beraksi teruk.

"Justeru semua posisi harus diperbaiki kerana mereka tidak beraksi pada tahap sebenarnya dan tiada gerakan menarik selain pertahanan pula seolah-olah mahu muntah menahan asakan lawan serta tidak menggunakan peluang sebaik mungkin," katanya.

Mengenai gol sendiri, Sathianathan tidak mahu menyalahkan pemain itu sebaliknya pemain lain.

"Saya tidak boleh salahkan dia, yang saya salahkan pemain lain kerana tiga minit sebelum wisel penamat ditiupkan gol itu berpunca daripada kebodohan kita.

"Sepatutnya kita simpan dulu bola itu di kawasan selamat tetapi pemain mungkin kurang bersedia beraksi pada malam ini (malam tadi) menyebabkan kita tewas," kata Sathianathan.

 

 

Berita Harian X