Jumaat, 24 Mei 2019 | 12:09pm
Pep Guardiola. - Foto AFP
Pep Guardiola. - Foto AFP

Laporan Guardiola ke Juventus mengarut -Galassi

LONDON: Laporan yang mengatakan Pep Guardiola akan meninggalkan Manchester City dan berpindah ke Juventus adalah ‘mengarut’, kata anggota Lembaga Pengarah kelab Inggeris itu, Alberto Galassi, pagi ini.

Guardiola membantu City menjulang tiga gelaran domestik – Liga Perdana, Piala FA dan Piala Carabao musim ini.

Beberapa media Itali melaporkan bahawa jurulatih dari Sepanyol itu bakal meggantikan Massimiliano Allegri, yang meninggalkan Juve pada penghujung musim ini.

“Khabar angin ini tidak berasas,” kata Galassi kepada Sky Italia.

Guardiola memperbaharui kontrak dengan kelab Liga Perdana itu pada tahun lalu dan kontraknya di Stadium Etihad bakal berakhir sehingga 2021.

Mac lalu, khabar angin mengenai beliau akan berpindah ke kelab juara Itali – yang memenangi lapan gelaran Serie A sebelum ini – mula tersebar namun Guardiola berkata beliau akan kekal di City sekurang-kurangnya sehingga kontraknya tamat, melainkan beliau dipecat.

AGI Sport di Itali melaporkan yang bekas jurulatih Barcelona dan Bayern Munich itu bersetuju dengan perjanjian selama empat tahun bersama Juventus, dengan gaji dilaporkan £21 juta (RM111.46 juta) semusim.

Laporan itu juga mendakwa kontrak itu akan ditandatangani secara rasmi pada 4 Jun ini dengan satu majlis pengenalan bakal dilakukan di Stadium Allianz, Turin pada 14 Jun.

“Kelab seperti Juventus tidak akan membenarkan berita seperti ini tersebar. Manchester City juga tak mungkin tidak dimaklumkan atau diberitahu mengenainya.

“Saya sungguh tidak percaya media melaporkan khabar angin sebegini. Ini mengarut. Guardiola mahu kekal.

“Beliau sangat profesional dan dia tidak percaya apa yang dikatakannya tidak diendahkan. Beliau tidak mahu pergi. Jadi, masalah ini tidak wujud kerana semua ini tidak pernah wujud.” – AGENSI

 

Berita Harian X