Rabu, 22 Mei 2019 | 10:45pm
PRESIDEN KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan. - NSTP/Fathil Asri
PRESIDEN KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan. - NSTP/Fathil Asri

`Tolong jangan potong mata Kelantan'

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) mengakui gagal mengemukakan sebahagian daripada dokumen yang diminta Liga Bolasepak Malaysia (MFL) selepas tempoh untuk berbuat demikian berakhir, semalam.

Mengesahkan perkembangan itu, Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan berkata antara dokumen yang gagal diserahkan adalah pengesahan bayaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Beliau bagaimanapun mengharapkan budi bicara MFL untuk tidak mengenakan pemotongan tiga mata ke atas pasukan Kelantan seperti ditetapkan badan pentadbir Liga Malaysia (Liga M) itu sebelum ini.

"Kami sudah serahkan dokumen termasuk surat rayuan, cuma kami tidak dapat sediakan beberapa dokumen lain seperti KWSP. Ia masalah sama seperti sebelum ini, bagaimana nak selesai kerana tiada duit.

"Sekarang kami merayu MFL jangan potong mata dan berharap mereka boleh selesaikan masalah KAFA dengan menggunakan geran tahunan. Kalau KAFA tak dapat geran pun tak apa, asalkan dapat mengelak dari dipotong mata.

"Bila tiada duit, potong 10 mata pun tak boleh buat apa. Sebab itu kami minta MFL gunakan dana KAFA yang ada dengan mereka untuk selesaikan masalah seperti tunggakan gaji dan KWSP.

"Potong mata pasti akan menjatuhkan moral pemain sedangkan masalah yang timbul berpunca daripada kewangan," katanya kepada BH Sukan.

Sebelum ini MFL meminta Kelantan, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, PDRM dan Sarawak serta Melaka menyerahkan dokumen kepada MFL yang menunjukkan kestabilan kewangan pasukan, jumlah pendapatan pasukan bagi musim 2019 dan bukti serta dokumen yang menunjukkan semua tunggakan hutang sudah diselesaikan sebelum 5 petang, semalam.

Sekiranya dokumen berkenaan masih tidak diserahkan dalam tempoh yang diberikan, pemotongan sebanyak tiga mata akan dikenakan kepada pasukan terbabit.

Bulan lalu, Kelantan sudah dikenakan pemotongan tiga mata oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) selepas persatuan itu gagal menjelaskan tuntutan daripada bekas pengarah teknikalnya, Alfredo Carlos Gonzalez.

Berita Harian X