Selasa, 21 Mei 2019 | 9:16am
VINCENT Kompany. - Foto Reuters
VINCENT Kompany. - Foto Reuters

Masanya 'sudah tiba' selepas gol berdepan Leicester

LONDON: Vincent Kompany berkata dia sedar masanya ‘sudah tiba’ di Manchester City ketika dia meledak gol kemenangan berdepan Leicester City pada saingan Liga Perdana 6 Mei lalu.

Pemain Belgium itu menamatkan 11 tahun di City, Ahad lalu dan menjadi pemain serta pengurus di Anderlecht - kelab dia memulakan karier hampir dua dekad lalu.

“Pada saat bola berdepan Leicester masuk ‘ke penjuru atas’, saya tahu masanya sudah tiba. Saya tak boleh lakukan lebih baik daripada itu,” kata kapten City itu ketika perarakan meraikan kejayaan pasukannya menjulang tiga kejuaraan domestik.

City menewaskan Watford 6-0 pada final Piala FA Ahad lalu dan menjadi pasukan pertama dari England melengkapkan treble.

Kejayaan memenangi Piala FA juga menamatkan karier buat pemain berusia 33 tahun itu bersama City, dengan dia menang empat gelaran Liga Perdana, dua Piala FA dan empat Piala Liga.

“Saya sudah berikan yang terbaik buat kelab ini. Saya boleh beritahu betapa bangganya saya. Tiada apa lagi. Saya sudah beri semuanya,” katanya.

Pengurus, Pep Guardiola berkata: “Kami akan merinduinya. Saya akan merinduinya tetapi dia akan menemui kami pada masa depan kerana dia pasti akan kembali.” - Reuters

Berita Harian X