Jumaat, 17 Mei 2019 | 11:07pm
Massimiliano Allegri. - Foto EPA
Massimiliano Allegri. - Foto EPA

Pochettino antara calon ganti Allegri

ROME: Pengendali Massimiliano Allegri akan meninggalkan Juventus akhir musim ini selepas dilaporkan gagal mencapai persetujuan dengan lembaga pengarah kelab yang baru dinobatkan sebagai juara Serie A itu.

“Massimiliano Allegri tidak akan berada di bangku simpanan Juventus untuk musim 2019/20,” kata kelab itu dalam satu kenyataan.

Allegri, 51, menafikan dakwaan yang mengatakan dia akan dipecat Sabtu lalu dan berkata dia sudah menyiapkan perancangan untuk tahun depan.

Dia bertemu dengan pihak atasan kelab minggu ini tetapi dilaporkan tidak mencapai persetujuan dalam beberapa perkara termasuk kenaikan gaji diminta Allegri.

Juventus sudah mengesahkan gelaran kelapan berturut-turut, dan kelima Allegri sepanjang dia mengendali kelab itu selain Piala Itali sebanyak empat kali sejak dia mengambil alih pasukan daripada Antonio Conte pada tahun 2014.

Bekas pemain tengah Juve, Conte, bos Perancis dan bekas pertahanan Didier Deschamps, finalis Liga Juara-Juara Mauricio Pochettino dari Tottenham dan Simone Inzaghi dari Lazio antara calon yang dikaitkan untuk mengisi kekosongan ditinggalkan Allegri.

Peletakan jawatan Allegri pasti menarik menarik minat kelab-kelab besar Eropah antaranya Inter Milan dan Chelsea.

Walaupun berjaya mendapatkan khidmat Cristiano Ronaldo dari Real Madrid musim panas lalu, Bianconeri gagal melepasi suku akhir Liga Juara-Juara buat musim kedua berturut-turut.

Malah mereka dimalukan oleh Ajax di peringkat lapan terakhir pada April walaupun diperkuat barisan pemain bintang seperti Ronaldo, Paulo Dybala dan Blaise Matuidi.

Allegri dan presiden kelab Andrea Agnelli akan membuat sidang akhbar esok. – AFP

Berita Harian X