Ahad, 12 Mei 2019 | 9:37am
PENGURUS Manchester City, Pep Guardiola tak mahu staf City menyibuk dengan keputusan pesaing mereka, Liverpool pada aksi terakhir.

Guardiola larang staf City bawa gajet ke stadium

BRIGHTON : Manchester City berkunjung ke Brighton malam ini dan jika mereka menang, The Citizens akan dikalungkan pingat selaku juara Liga Perdana Inggeris kali kedua berturut-turut.

Mata penyokong City pasti akan tertumpu kepada gajet masing-masing bagi mengikuti keputusan pencabar mereka Liverpool.

The Reds akan menjulang trofi berkenaan andainya City seri atau tewas di Brighton. 

Bagaimanapun, staf Manchester City dilarang membawa gajet memasuki stadium atas arahan Pep Guardiola sendiri.

Menurut sumber, arahan Guardiola itu jelas kerana dia tidak mahu staf mereka menyibuk dengan perkembangan Liverpool yang berdepan Wolves.

“Dia (Guardiola) hanya mahu setiap petugas City memberikan tumpuan kepada prestasi pasukan sendiri dan memenangi perlawanan di depan mata mereka. Dia amat tegas dan berpesan ‘kita tak akan bercakap mengenai mereka (Liverpool)’.

“Dia memang menghormati Liverpool tetapi gelaran dalam tangan City.

“Jika semua pihak melakukan kerja, apa juga keputusan dicapai Liverpool tidak menjadi masalah. Dia sangat fokus dan mengharapkan staf dan pemainnya juga memberikan tumpuan sepenuhnya pada aksi terakhir itu.

“Yang pasti tiada siapa dibenarkan melihat telefon bimbit untuk mengetahui keputusan pasukan lawan.”

Semua perlawanan penutup musim EPL malam ini berlangsung serentak. (jam 10 malam waktu Malaysia).

Liverpool akan menunggu kunjungan Wolves di Anfield dengan bekalan semangat yang tinggi selepas menyingkir pasukan pilihan, Barcelona dalam separuh akhir Liga Juara-Juara.

Liverpool akan menentang Tottenham Hotspur dalam final Liga Juara-Juara pada 1 Jun di Madrid manakala Manchester City bakal berdepan Watford dalam final Piala FA di Wembley, Sabtu depan. – Agensi

Berita Harian X